fbpx
SEPANJANG menggunakan telefon pintar, Ray-D juga telah merasai transisi perubahan daripada menjadi pengguna Android ke IOS.

Ray-D minat fotografi, rakam guna telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL usia 11 tahun, selebriti ini telah dihadiahkan telefon pintar oleh ibu bapanya bagi memudahkan komunikasi antara mereka.

Itulah pendedahan awal buat dirinya terhadap dunia gajet yang mencetuskan keterujaan kerana telefon pintar sudah menjadi trend pada masa itu. Berkongsi tentang pengalaman pertama itu, peserta Big Stage, Ariff Hilmy

Muhammad Amir atau lebih dikenali sebagai Ray-D mengatakan selepas mendapat telefon pertama iaitu Samsung Galaxy S7 edg, dia banyak belajar perkara baharu menggunakan peranti itu.

“Walaupun masih sekolah rendah saya tahu bahawa semua benda kita boleh tengok menerusi telefon bimbit, malah saya juga lebih banyak mendengar muzik dengan menggunakan gajet tersebut.

“Meskipun menerima telefon pintar pertama di usia muda, penggunaan telefon saya masih dipantau oleh ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan perkara negatif,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno selepas Konsert Big Stage di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang menggunakan telefon pintar dia juga telah merasa transisi perubahan daripada menjadi pengguna Android ke IOS.

Katanya, selepas menggunakan Samsung Galaxy S7 dia kemudian telah beralih ke IOS menerusi penggunaan beberapa jenis model Apple seperti iPhone 5s, X, SE 2, XS, 11 dan 14.

Menurutnya, antara Android dan IOS dia lebih selesa dengan antara muka dan operasi telefon yang lebih ringkas.

“Saya juga gemar mengambil gambar dan membandingkan kedua-duanya, kamera iPhone menghasilkan gambar lebih cantik dan jelas.

“Android sebenarnya tidak kurang hebat dan ada banyak fungsi tetapi pada masa sama ia juga boleh mengelirukan,” ujarnya yang mengidolakan kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, G- Dragon.

Selain gajet telefon, Ray-D berkata, dia juga terdedah dengan gajet muzik lebih awal iaitu pada usia empat tahun.

Pada ketika itu juga bakat menyanyinya sudah terserlah dan dia kerap berkaraoke kerana keluarganya memiliki set karaoke di rumah dan mereka juga bergiat dalam cabang seni.

Berkongsi tentang penggunaan sosial media, Ray-D memberitahu bahawa dia merupakan antara orang yang kurang aktif menggunakan platform itu tetapi kini cuba untuk berubah kerana permintaan peminat dan bagi meraih undi orang ramai.

Ujarnya lagi, antara platform media sosial yang sering digunakan adalah Instagram, TikTok dan WhatsApp yang digunakan untuk berkomunikasi.

“Dulu saya tidaklah aktif tetapi bila dah masuk Big Stage saya perlu aktif menggunakan media sosial kerana peminat mahu tahu aktiviti seharian terutama sepanjang berada dalam pertandingan ini.

“Dalam seminggu saya akan muat naik tiga hingga empat kandungan buat orang ramai nampak perjuangan kami di sini,” jelasnya.

Katanya lagi, apabila bercerita tentang gajet idaman, dia ingin memiliki model terkini iPhone iaitu 16 Pro Max dan juga Macbook untuk membantunya berkarya dan juga memenuhi kehendak hobi iaitu fotografi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN