MANCHESTER – Manchester United yakin tiada masalah untuk menjual Alejandro Garnacho selepas dilaporkan tiga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menyatakan minat mereka untuk membeli pemain sayap itu.
Pemain berusia 20 tahun itu tiada dalam perancangan pengurus United, Ruben Amorim untuk saingan musim depan disebabkan kenyataannya selepas tewas kepada Tottenham Hotspur pada final Liga Europa sebelum ini.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano juga mengesahkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk berpisah secara ‘baik’.
Chelsea antara kelab EPL yang didakwa berminat mendapatkan khidmat Garnacho selepas hasrat mereka membelinya pada jendela perpindahan Januari lalu tidak menjadi kenyataan.
Bagi menguatkan jentera serangan, Chelsea bersedia untuk memberikan peluang kepada Garnacho selain mereka juga dilaporkan merancang untuk menjadikan urusan pinjaman Jadon Sancho kepada perpindahan tetap.
Selain Chelsea dan dua kelab EPL yang tidak didedahkan, dua jaguh Eropah seperti Bayer Leverkusen dan juara Itali, Napoli juga berminat membeli bintang yang dianggarkan bernilai £60 juta (RM343.07 juta) hingga £70 juta (RM400.24 juta) itu.
Dana itu boleh digunakan United untuk membeli Bryan Mbeumo berharga £60 juta (RM343.07 juta) selepas tawaran pertama mereka bernilai £45 juta (RM257.30 juta) termasuk bonus berjumlah £10 juta (RM57.18 juta) ditolak oleh Brentford.
Ia bakal menjadi pembelian kedua United selepas penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha bersetuju untuk berhijrah ke Old Trafford dengan harga £62.5 juta (RM357.36 juta). – AGENSI