PETALING JAYA – Malang menimpa seorang wanita apabila kereta jenis Perodua Alza miliknya dicalarkan oleh individu tidak bertanggungjawab di kawasan tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah.
Menerusi satu hantaran di TikTok @Aween_amirah, ketika kejadian berlaku, suaminya meminjam keretanya untuk menghadiri penggambaran di pusat beli-belah tersebut.
Menurut wanita itu, suaminya memasuki kawasan parkir seawal pukul 7.30 pagi sebelum pusat beli-belah itu dibuka dan berjaya mendapatkan tempat parkir yang strategik.
Namun, sebaik selesai menjalani penggambaran kira-kira pukul 10 malam, suaminya terkejut apabila mendapati kereta tersebut telah dicalar di beberapa bahagian sisi.
“Terkejut tengok keadaan kereta dah calar-balar. Kami buat laporan kepada polis bantuan di lokasi dan mereka janji akan ‘update’, jadi kami pun balik lah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambahnya, pengurus produksi suaminya kemudian menghubungi pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk membuat susulan, namun jawapan yang diterima amat mengecewakan.
“Mereka cakap kereta diparkir di kawasan yang tidak kelihatan dalam rakaman telesyen litar tertutup (CCTV) kerana terlindung dengan tiang.
“Banyak pula masa nak masuk ‘mall’ (pusat beli-belah) kena periksa dulu CCTV nampak ke tak. Kalau kereta mewah yang kena, mesti lain cerita,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna turut meluahkan pengalaman hampir sama yang berlaku di lokasi berkenaan.
“Ya Allah… saya pernah kena macam ni. Sakitnya hati, hanya Allah yang tahu,” luah seorang pengguna.
“Saya pernah kena tayar bocor dekat sini sebab besi dekat bonggol tu terkopek. Serik nak parkir dekat sini,” ujar pengguna lain.
“Dulu kereta saya kena, kemudian beberapa bulan selepas itu, dua kereta kawan saya pula jadi mangsa. Bila buat laporan, jawapan sama, CCTV tak nampak,” kata Jubedah. – KOSMO! ONLINE