fbpx
Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban ekoran ibadah ‘korban’ yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta. – Gambar hiasan

Ibadah korban: Simbolik semangat jihad dalam diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada hari Sabtu tanggal 10 Zulhijjah 1446 Hijrah bersamaan 7 Jun 2025 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama me­rayakan Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai ‘Hari Raya Haji’ atau ‘Hari Raya Korban’.

Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah ‘korban’ yang disyariat­kan pada hari tersebut iaitu ­dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat ‘Idul Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Kaedah pembahagian da­ging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban.

Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariat­kan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail.

Mohd. Sukki

Kekuatan iman

Ini merupakan perintah yang amat berat bagi Nabi Ibrahim, ­apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk me­laksanakan perintah Allah ini. Allah SWT telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata Nabi Ibrahim kepada anak­nya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah penda­patmu.”

Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi ba­ginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah te­lah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh Nabi Ismail kepada bapa­nya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: “Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-­Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang ­sabar.”

Berbekalkan semangat pe­ngor­banan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. bersedia untuk melak­sanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anak­nya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah SWT menunjukkan kekuasaan dan keagunganNya dengan menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap Hari Raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: “tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi SAW ber­sabda yang bermaksud: “Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menum­pahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi ­Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu de­ngan korban.”

Simbolik pengorbanan

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim.

Orang yang akan memperoleh keredaan Allah dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah SWT.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat dalam kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menum­pahkan darah binatang yang di­sembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup ‘berkorban’ dalam mentaati pe­rintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain?

Mengapakah masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri ­majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagai­nya?

Mengapakah juga masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah se­perti menipu, rasuah, judi dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam.

Kita hendaklah bersedia me­lakukan pengorbanan semata-mata mencari keredaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah.
Melawan hawa nafsu

Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan me­ninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”

Mudah-mudahan, ‘Idul Adha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu Muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: “Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah).”

PROF MADYA DATUK DR. MOHD. SUKKI OTHMAN ialah Mufti Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN