PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Chartered Tax Institue of Malaysia (CTIM) bagi memperkukuhkan bidang pendidikan, penyelidikan dan pematuhan percukaian di Malaysia.
Majlis yang berlangsung di Menara LHDN, Cyberjaya hari ini diwakili Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Presiden CTIM, Soh Lian Seng.
LHDN dalam kenyataannya berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang kedua-dua agensi ke arah memperkasa sistem percukaian negara yang lebih berintegriti, telus dan progresif.
“Antara yang dipersetujui menerusi MoU ini termasuk pelaksanaan inisiatif bersama dalam bidang pendidikan percukaian yang menyasarkan pelbagai kumpulan termasuk golongan profesional, pemain industri serta masyarakat umum,” katanya.
Sementara itu, Abu Tariq menerusi ucapannya berkata dalam menghadapi era digitalisasi dan ekonomi global yang semakin mencabar, kolaborasi rentas sektor dan antara organisasi menjadi semakin penting.
“MoU ini merupakan platform untuk menyatukan kepakaran, pengalaman dan sumber daya LHDN dan CTIM ke arah memperkukuh sistem percukaian negara yang lebih komprehensif,” ujarnya.
Selain aspek pendidikan, MoU ini turut merangkumi kerjasama dalam bidang penyelidikan meliputi kajian berkaitan dasar fiskal, tingkah laku pematuhan cukai, serta impak perubahan dasar terhadap ekonomi dan masyarakat.
MoU ini juga bakal memperlihatkan pelaksanaan program-program pembangunan kapasiti seperti bengkel, seminar, kursus latihan dan penyebaran maklumat terkini berkenaan perundangan serta peraturan percukaian.
Melalui pendekatan ini, pemain industri dan orang awam akan lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dasar, sekali gus memastikan pematuhan yang lebih konsisten dan efektif. – KOSMO! ONLINE