fbpx
Bayi atau kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh tidak disunatkan untuk melaksanakan ibadat korban. – Gambar hiasan

K2

Bolehkah buat korban untuk anak belum baligh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASSALAMUALAIKUM, saya ada satu persoalan, apakah hukum ibu bapa melaksanakan ibadah korban untuk anak yang belum baligh? Mohon pandangan.

JAWAPAN: Ibadah korban merupakan bentuk pengabdian diri kepada Allah SWT untuk menjelaskan rasa kesyukuran dan pengorbanan kepada agama.
Allah SWT berfirman bahawasanya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah al-Kauthar, 2)

Salah satu daripada syarat yang dituntut kepada seseorang itu untuk layak melaksanakan ibadat korban adalah baligh dan berakal.

Ia bermaksud bahawa kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh dan orang gila tidak disunatkan untuk melaksanakan korban kerana keadaan mereka bukan mukalaf.

Secara umumnya, hukum pelaksanaan ibadah korban untuk orang lain tanpa mendapat keizinan pemiliknya adalah tidak sah.

Ini berdasarkan kenyataan Khatib al-Syirbini dalam kitabnya: “Dan tidaklah seseorang melakukan korban ke atas orang lain tanpa keizinannya.”

Seorang mukalaf tidak diharuskan untuk melaksanakan ibadat korban bagi orang lain yang masih hidup kecuali setelah mendapat keizinan tuannya.

Hukum ibadat tersebut juga tidak sah menurut mazhab al-Syafi’i.

Hal ini demikian kerana pelaksanaan korban juga termasuk salah satu daripada perbuatan ibadat.

Pada asasnya, seseorang itu tidak boleh melakukan ibadat bagi pihak lain dan perbuatan tersebut ditegah dalam agama kecuali sekiranya ada dalil yang membenarkannya, lebih-lebih lagi jika berbuat demikian tanpa keizinan orang tersebut.

Bagi ibu bapa yang ingin melaksanakan korban bagi pihak anak-anak yang belum baligh, Khatib al-Syirbini ada menyatakan bahawa korban si wali untuk individu di bawah tanggungannya (seperti anak, orang gila, orang yang terhalang daripada menguruskan harta) dengan mengguna pakai harta anaknya adalah haram.

Ia juga tidak sah sekiranya korban tersebut dilakukan untuk janin di dalam perut sama seperti tidak sah pembayaran zakat fitrah untuk kandungan yang masih berada di dalam perut ibunya.

Ini berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh al-Bulqini dan al-Azraie dan juga pendapat al-Mawardi dan ulama-ulama mazhab al-Syafi’i.

Hal ini bermaksud bahawa seorang wali sama ada bapa atau datuk tidak harus melaksanakan ibadah korban kepada anak-anak di bawah pemeliharaannya iaitu anak-anak yang belum baligh dengan menggunakan harta anak.

Akan tetapi, jika korban tersebut dilaksanakan dengan menggunakan harta si wali, maka sah hukumnya.

Ini merujuk kepada kenyataan al-Ramli: “Dan harus bagi bapa dan datuk membuat korban bagi anak di bawah pemeliharaannya, daripada hartanya sendiri seperti dia mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya menggunakan hartanya.”

Kaedahnya seperti binatang korban diambil daripada harta wali, kemudian dia menghadiahkannya kepada anak tersebut dan menyembelih binatang bagi pihak si anak (dengan keizinannya).

Oleh yang demikian, wali tersebut akan mendapat pahala kerana memberi hibah, manakala si anak akan mendapat pahala kerana ibadah korbannya.

Kesimpulannya, daripada soalan tersebut, hukum ibu bapa yang melakukan ibadah korban bagi pihak anak belum mencapai umur baligh adalah diharuskan selagi harta yang digunakan untuk melaksanakan korban tersebut diambil daripada harta ibu bapa dan bukan harta milik si anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN