PETALING JAYA – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyarankan pelaksanaan gaji minimum di kawasan luar bandar yang mempunyai kos sara hidup dan margin lebih rendah perlu dipertimbangkan semula.
Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ia susulan penutupan operasi khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semakin membimbangkan.
Beliau berkata, kebanyakannya terpaksa ditutup akibat ketidakmampuan majikan menampung kos termasuk gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa sejak Februari 2025 lalu.
“Kerajaan perlu pertimbangkan semula pelaksanaannya di beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perlis serta kawasan kawasan luar bandar yang mempunyai kos sara hidup juga margin lebih rendah.

“Perniagaan di kawasan berkenaan tidak membuat banyak keuntungan daripada perniagaan mereka. Walaupun begitu, mereka menyediakan peluang pekerjaan dan pengalaman kerja kepada penduduk setempat.
“Jika perniagaan ini ditutup kerana tidak mampu menanggung kos yang tinggi, penduduk setempat tidak akan diambil bekerja dan terlepas peluang untuk dilatih,” jelasnya.
Syed Hussain berkata, bukan semua majikan mempunyai keupayaan sama kerana faktor lokasi, sektor dan saiz perniagaan sangat mempengaruhi.
Selain itu jelas beliau, gaji tidak boleh ditingkatkan semata-mata tanpa peningkatan produktiviti kerana ia akan membebankan majikan.
“MEF bersetuju dengan gaji minimum RM1,700 tetapi ia boleh dilaksanakan secara berperingkat mengikut wilayah atau sektor dengan tempoh penyesuaian untuk PKS di kawasan luar bandar dan kawasan ekonomi yang perlahan.
“Berikan insentif bersyarat kepada majikan yang mematuhi gaji minimum sebagai galakan positif kerana bersedia membayar gaji minimum RM1,700.
“Boleh juga berikan rebat cukai, akses kepada geran latihan, atau keutamaan dalam projek kerajaan kerana ia akan menjadikan pematuhan bukan sekadar kewajipan, tetapi satu kelebihan strategik,” tambahnya.














