fbpx
Sebahagian kaki pancing sanggup berpanas di pesisir Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh untuk memancing semalam.

Hari panas pun pantai penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cuaca panas terik sejak akhir-akhir ini tidak menghalang ramai pengunjung beriadah di kawasan pesisir pantai di dua negeri yang terkenal dengan pantai yang cantik.

Tinjauan Kosmo! di Pantai Te­luk Dalam, Pulau Redang, Terengganu kelmarin mendapati, pantai peranginan tersebut tetap dikunjungi ramai pengunjung untuk beriadah.

Salah seorang pengusaha bot pelancong, Azmi Awang, 38, berkata, dia tidak menang tangan menghantar pengunjung ke pulau peranginan terkenal tersebut sejak beberapa minggu lalu.

“Pada mulanya saya sangkakan pelancong tidak ramai kerana cuaca sekarang agak panas, malah musim cuti persekolahan hanya akan bermula pada Khamis ini.

“Begitupun ketibaan pengunjung terutama untuk kunjungan harian amat memberangsangkan biarpun pada hari biasa,” katanya di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang di sini kelmarin.

Azmi berkata, selain mandi pantai, pengunjung juga gemar melakukan aktiviti snorkel dan berenang bersama penyu di pantai peranginan terbabit.

Sebahagian pengunjung beriadah dalam cuaca panas di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang, Kuala Nerus semalam.

Dia berkata, sebahagian pelancong asing terutama dari Eropah juga memanfaatkan cuaca panas untuk berjemur badan mereka di pesisir pantai

Di Kelantan pula, cuaca panas terik tidak melemahkan semangat puluhan kaki pancing untuk memenuhi hobi mereka di sepanjang Pantai Bisikan Bayu di sini semalam.

Tinjauan mendapati, puluhan pemancing berada di sepanjang lebih tiga kilometer Pantai Bisikan Bayu hari ini dengan sebahagiannya sanggup berpanas, manakala ada yang membuka payung untuk berteduh.

Seorang pemancing, Ismail Ahmad, 50, berkata, pantai ber­kenaan menjadi tumpuan beratus pemancing sejak kebelakangan ini untuk memancing ikan gelama, pari dan ikan ebek yang dikatakan banyak di pesisir Pantai Semerak.

Katanya, cuaca panas terik bagaikan tidak terasa apabila ikan-ikan berjaya didaratkan setiap hari.

“Pemancing dari merata daerah datang ke pantai ini dengan membawa payung, air untuk minuman dan makanan yang mencukupi.

“Bahang panas dan cuaca terik bukan halangan kepada kami untuk memancing. Pemancing yang datang dari jauh turut membawa keluarga dan bermalam di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN