SHAH ALAM – Kedegilan 21 penjaja gerai bawah pokok menjalankan perniagaan tanpa permit membawa padah apabila khemah mereka dirobohkan di Taman Subang Perdana di sini, semalam.
Operasi dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kira-kira pukul 7.30 pagi susulan keingkaran meskipun telah diberikan notis dan arahan berpindah sebelum ini.
MBSA berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk setempat berkaitan pembinaan gerai tanpa lesen dan permit sehingga menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas dan kebersihan.
“Para penjaja juga telah diarah memohon gerai dan permit penjaja di Tapak Penjaja Sementara di bawah kawasan pentadbiran MBSA.
“Tindakan meroboh 21 khemah itu adalah langkah tegas dijalankan di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu binaan tanpa kebenaran MBSA,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE