KUANTAN – Seorang pembantu kedai pendingin hawa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada seorang anggota polis tahun lalu.
Tertuduh, Hiew Che Yong, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Che Yong didakwa secara rasuah memberikan wang tunai RM1,500 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang ketika itu berada dalam tahanan polis berhubung siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 6 Mei tahun lalu kira-kira pukul 3.10 petang di hadapan Lokap Berpusat Indera Mahkota, di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Saifudin Ab Rahman.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bercagar serta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan. Kes disebut semula pada 26 Jun depan. – KOSMO! ONLINE