fbpx
KELAB yang bersaing dalam Liga M musim depan perlu mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku ke atas Perak FC dan KDA FC yang berdepan masalah aliran tunai sehingga menyebabkan pasukan tersebut berkubur.

‘Vortex’ bola sepak semakin ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak membenarkan Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersaing dalam Liga Super musim depan bukanlah perkara yang mengejutkan.

Kedua-dua pasukan itu didapati gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.

Pasti ia adalah berita yang mengecewakan buat peminat kedua-dua pasukan berkenaan sementelah mereka adalah pasukan yang memiliki sejarah panjang yang luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia serta mempunyai kelompok penyokong setia yang tegar.

Namun, bola sepak sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan ‘vortex’ yang sangat ganas apabila keperluan kewangan menjadi sangat mencabar untuk memastikan kelangsungan pasukan dalam saingan.

Natijahnya, dua pasukan itu terpaksa ‘ditalkinkan’ untuk musim depan dan kita sedang menanti penuh harapan agar Sri Pahang berjaya keluar dari gelombang ini dan kekal bersaing.

Pelbagai pandangan ‘dimuntahkan’ untuk menjustifikasikan situasi yang sedang berlaku ketika ini; berbelanjalah ikut kemampuan, jangan tiru pasukan mewah andai kita tidak mampu, pengurusan perlu bijak uruskan kewangan, malah banyak lagi.

Hakikatnya, hanya pihak pengurusan pasukan sahaja yang memahami perit dan jerihnya menguruskan pasukan bola sepak ketika pemilik Perak FC mengakui RM40 juta yang mereka labur lebur tanpa pulangan, malah untuk melunaskan gaji pemain juga sudah sampai ke tahap tidak mampu.

Suka atau tidak, industri bola sepak di Malaysia belum sampai ke tahap tertinggi pengaruh komersialnya, tidak banyak konglomerat yang bersedia untuk membuat pelaburan kerana ia memerlukan tempoh yang panjang dan kesabaran yang utuh untuk kembali meraih semula ringgit dan sen yang dimodalkan.

Biarpun sudah banyak keberhasilan model bisnes bola sepak ditunjukkan khususnya melibatkan kelab-kelab di Eropah, namun secara praktikalnya belum mampu dilaksanakan di negara ini.

Walaupun sudah memasuki era profesional, kelab-kelab bola sepak di Malaysia masih perlu mengharapkan bantuan kerajaan menerusi model percukaian yang mampan supaya syarikat-syarikat besar boleh memainkan untuk bersama-sama membangunkan industri bola sepak.

Menuding jari mencari kesilapan tidak akan memulihkan kerosakan yang berlaku, dunia bola sepak di Malaysia tidaklah besar untuk kita bersorak setiap kali ada pasukan yang tersungkur, malah apalah nilainya untuk muncul juara saingan domestik jika hanya empat atau lima pasukan sahaja yang bertanding.

Bagaimanapun, khabar yang dibawa oleh Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang siap untuk bersaing musim depan sedikit melegakan biarpun sebelum ini mereka juga berada dalam senarai pasukan yang ‘nazak’.

Kembalinya figura hebat, Tan Sri Annuar Musa yang sanggup membantu pasukan itu tanpa syarat pastinya menjanjikan harapan yang hebat buat peminat yang tidak lagi mahu melihat pasukan menjadi mangsa ‘pesta’ gol.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN