BERLIN – Pasukan Stuttgart berjaya mengesahkan status pilihan apabila menewaskan kelab divisyen ketiga, Arminia Bielefeld 4-2 untuk menjulang Piala DFB-Pokal buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.
Pada aksi di Stadium Olimpik itu, skuad Stuttgart yang menamatkan saingan Bundesliga di kedudukan kesembilan musim ini berjaya meraih gol berganda Enzo Millot selain dua jaringan sumbangan Nick Woltemade dan Deniz Undav.
Pengendali Stuttgart, Sebastian Hoeness mengakui bangga dengan apa yang dipamerkan oleh pasukan sepanjang kejohanan untuk melakar kejutan menjuarai trofi domestik sekali gus meraih slot Liga Europa musim depan.
“Saya sangat gembira dengan komitmen pasukan dan kita mengecapi kejayaan ini bersama-sama. Pujian juga wajar diberikan kepada Bielefeld yang memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit perlawanan.
“Namun, penyokong setia banyak membantu kita untuk kekal kompetitif dan saya pasti barisan pemain seperti tidak percaya dengan kemenangan untuk menamatkan penantian trofi pada musim ini,” katanya.
Sementara itu, Undav selaku penyerang utama Stuttgart percaya impian untuk meraih trofi akhirnya tercapai selepas kali terakhir menjulang piala ketika mendominasi Bundesliga edisi 2007.
“Perasaan ini sangat luar biasa kerana kita berjaya menang trofi meskipun pada awal saingan kita tidak diletakkan sebagai pilihan. Sekarang adalah masa untuk meraikan kejayaan dengan peminat yang sudah lama menanti trofi untuk dibawa pulang ke Stuttgart,” katanya. – AGENSI