ARENA badminton tanah air sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijangka melonjak ke ranking pertama dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemas kini esok.
Ia berikutan penyandang ranking tersebut dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen gagal layak ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 menyebabkan mereka kehilangan mata ranking cukup banyak.
Ia sekali gus membantu beregu yang terkenal dengan julukan DinFei itu merampas kedudukan pasangan Denmark berkenaan untuk menjadi gandingan lelaki No. 1 dunia yang baharu.
Mengambil kira keputusan Malaysia Masters, Sze Fei-Izzuddin dijangka kekal dengan 91,090 mata keseluruhan selepas melangkah ke suku akhir berbanding Astrup-Rasmussen (90,411) yang tewas di separuh akhir selaku juara bertahan.
Berdasarkan pengiraan mata ranking BWF, Astrup-Rasmussen kehilangan 9,200 mata kerana gagal mempertahankan gelaran Malaysia Masters dan hanya meraih 6,420 mata selepas menamatkan saingan selaku empat beregu terbaik.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama dalam tempoh lapan tahun Malaysia memiliki beregu lelaki No. 1 dunia selepas kali terakhir disandang Goh V Shem-Tan Wee Kiong antara November 2016 dan Mac 2017.
Selain Sze Fei-Izzuddin dan V Shem-Wee Kiong, beberapa lagi gandingan negara pernah memegang status No. 1 dunia termasuk Razif Sidek-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, Soon Kit-Yap Kim Hock, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Sze Fei-Izzuddin layak berada di kedudukan ranking No. 1 dunia berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu dan musim ini apabila merangkul gelaran Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Arctic dan Terbuka India.