SHAH ALAM – Sebanyak 68 kilang haram yang telah beroperasi lebih 20 tahun di Klang, Shah Alam dan Petaling berada di dalam radar perhatian sebelum serbuan dilakukan selewatnya Julai ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, tindakan penguatkuasan itu dilakukan selepas pemiliknya didapati masih terus mencerobohi tanah kerajaan termasuk rizab jalan meskipun telah diarahkan berpindah sebelum ini.
Katanya, kilang tanpa kebenaran (KTK) tersebut termasuk pembuatan cermin rumah, perabot, kimpalan, bengkel dan stor jentera berat.
“Secara pecahan, dianggarkan 17 KTK di Klang manakala 51 keseluruhan untuk Shah Alam dan Petaling. Mereka ini telah menceroboh tanah-tanah kerajaan dan mendirikan kilang tanpa sebarang dokumen Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
“Kerajaan juga tidak benarkan pemberian pemilikan dan sudah sampai masa tindakan penguatkuasaan dilakukan supaya mereka keluar dan pulihkan kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap KTK Selangor, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod setakat ini tiada mana-mana kilang itu menjalankan aktiviti memproses sisa haram termasuk e-waste.
Ujarnya, siasatan turut mendapati mereka juga tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana mencemarkan alam sekitar.
“Jadi, saya ingin ingatkan jangan sesekali cuba menceroboh tanah kerajaan sewenang -wenangnya,” tegasnya.
Dalam pada itu, kata Suee Lim, berdasarkan KTK di Selangor menunjukkan penurunan kepada 4,170 berbanding sebelum ini lebih 6,000.
“Selain itu, kita telah mengedarkan 90 notis 7A Kanun Tanah Negara kerana menyalahgunakan tanah
kepada pemilik atau pengusaha KTK.
“Kita menyasarkan 500 notis akan dikeluarkan pada Julai ini kepada agar hadir bagi proses pemutihan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE