fbpx
Kaum wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya melebihi sehasta daripada buku lali bagi tujuan menutup aurat di bahagian kaki. - Gambar hiasan

K2

Bolehkah wanita pakai pakaian panjang meleret?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA lihat trend gaun wanita sengaja direka panjang meleret atas tuntutan fesyen dan gaya semasa. Kebiasaannya, gaun tersebut dipakai pada hari majlis persandingan dan majlis-majlis berprestij. Persoalannya, apakah hukum wanita memakai pakaian panjang meleret?

JAWAPAN: SECARA umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu Muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian mengikut adat setempat sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian adalah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.

Seterusnya, kaum wanita boleh melabuhkan pakaiannya sehasta daripada buku lali agar tidak tersingkap aurat di bahagian tumit kakinya.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana kesombongan, Allah SWT tidak melihatnya pada hari kiamat. Maka, Ummu Salamah telah bertanya: Bagaimana wanita menguruskan bahagian bawah jubahnya? Maka Baginda SAW menjawab:

Labuhkan ia sebanyak sejengka. Maka Ummu salamah berkata: Jika masih terlihat di bahagian bawah kaki.

Baginda bersabda: “Maka labuhkan sebanyak sehasta dan jangan lebih dari itu.” (Riwayat al-Tirmidzi (1731)

Hadis ini menjelaskan bahawa kaki wanita adalah aurat (Lihat, Nail al-Authar (301). Sementara, Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan:

“Wanita perlu melabuhkan kain melebihi buku lali (isbal) bagi menutupi seluruh kawasan kakinya kerana aurat.

Hal ini berbeza hukumnya terhadap kaum lelaki yang dilarang melabuhkan kain atau seluar melebihi paras mata buku lali ( isbal). Al-Qadhi Iyadh telah menukilkan ijma’ ulama bahawa larangan isbal hanya khusus bagi kaum lelaki tidak termasuk kaum wanita.” ( Lihat Fath al-Bari 10/259).

Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memanjangkan pakaiannya kerana tuntutan fesyen seperti gaun pengantin atau selainnya melebihi sehasta.

Maka, kami cenderung menyatakan bahawa wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya sehasta dari buku lali untuk menutupi aurat keseluruhan kakinya berdasarkan hadis yang telah dinyatakan.

Namun, sekiranya memakai pakaian yang sengaja direka terlalu panjang meleret melebihi sehasta, maka ia merupakan satu bentuk pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan.

Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf : 31)

Tuntasnya, setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kaum wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya melebihi sehasta daripada buku lali bagi tujuan menutup aurat di bahagian kaki.

Namun, sekiranya kaum wanita memakai pakaian yang direka labuh panjang meleret atas alasan tuntutan fesyen dan gaya semasa, ia akan kelihatan satu bentuk pembaziran dan melambangkan kemegahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN