LANGKAWI – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai Surat Niat (LoI) dengan MHS Aviation Berhad, anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad bagi membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dalam negara.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, kerjasama itu dapat memperkukuhkan ekosistem penyelidikan, inovasi dan latihan dalam bidang UAS.
“Akses langsung kepada kepakaran industri seperti MHS akan memperkukuhkan daya saing penyelidik dan pelajar kami.
“Di samping itu, kerjasama ini juga meletakkan UPNM sebagai hab kecemerlangan dalam teknologi pertahanan, sejajar dengan teras strategik dalam UPNM30 iaitu kesarjanaan dan pusat kecemerlangan,” katanya pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Katanya, kerjasama itu juga dapat memperkasakan keupayaan teknologi UAS negara dengan pembangunan modul akademik dan latihan lapangan khusus bagi UAS. – KOSMO! ONLINE