PETALING JAYA – Ramai ibu bapa mengimpikan rumah yang mewah dan bergaya tanpa menyedari rumah juga boleh mengundang bahaya terutama buat anak-anak kecil yang sedang membesar.
Menerusi perkongsian PHM di Facebook, kemalangan melibatkan kanak-kanak di rumah yang sering berlaku termasuk anak kecil lemas di dalam kolam hiasan, tertelan manik hiasan meja yang disangka gula-gula, tertimpa pokok hiasan bohemian dan mengalami kecederaan akibat meja kopi kaca.
“Rumah minimalis bukan sekadar gaya, ia adalah perlindungan. Demi anak-anak, demi ketenangan,” kata PHM dalam kenyataan tersebut.
PHM turut menyarankan ibu bapa untuk mengelakkan penggunaan barang hiasan kaca dan objek kecil yang boleh tertelan, kurangkan penggunaan perabot yang mempunyai bucu tajam dan peralatan elektrik yang mudah dicapai oleh anak kecil.
Tinjauan dari ruangan komen mendapati ramai yang bersetuju dengan pesanan itu.
“Mainan anak sendiri pun boleh jadi bahaya, memang kena lebih peka,” kata Nurnadiah Jamian.
“Macam rumah orang-orang Cina zaman dulu, mak saya Cina mualaf, sekarang rumah dia hanya ada barang biasa sahaja tanpa perhiasan. Dia sedekahkan semua yang tak perlu. Saya pun nak jadi minimalis macam beliau,” komen Az Ahmad. -KOSMO! ONLINE