PARIT – Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Seri Iskandar semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada doktor yang merawat mangsa pada pukul 5.21 petang selepas dibawa oleh ibu bapanya untuk rawatan kerana berada dalam keadaan lemah.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pipi, telinga, dahi, perut dan kaki. Selain itu, doktor yang merawat mangsa mendapati keadaan mata kanak-kanak itu juga tidak normal seperti biasa dan disyaki telah didera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan laporan polis dibuat doktor terbabit, tangkapan telah dilakukan terhadap wanita berusia 30-an yang juga pengasuh kanak-kanak itu.
Katanya, suspek yang baru dua minggu menjaga mangsa ditahan pada pukul 9.20 malam dan permohonan reman akan dijalankan hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE