TAMPIN – Seorang remaja langsung tidak melihat kecacatan dirinya yang kudung tangan kanan sebagai halangan untuk dia mencari rezeki dengan menjual buah di tepi jalan di Felda Gugusan Jelai di sini.
Muhammad Faiz Helmi Abdullah, 19, berkata, dia kudung selepas tangannya termasuk ke dalam mesin pengisar makanan lembu ketika bekerja di Jempol dua tahun lalu.
Katanya, dia langsung tidak merasa rendah diri dan sentiasa berfikir untuk mengejar cita-citanya sebagai usahawan.
“Sejak kecil saya memang tidak suka susahkan keluarga. Selepas tidak lagi bersekolah sejak umur 15 tahun, saya buat macam-macam kerja termasuk loading buah sawit di felda sebelum menjual buah.
“Namun ia tidak sesuai dengan jiwa saya sebelum kawan ajak bekerja sebagai penjual buah di kawasan ini sejak Februari lalu dengan pendapatan RM200 sehari,” katanya yang berasal dari Bandar Seri Jempol.
Menurut anak sulung dari tiga beradik itu, dia yang merantau ke Jelai kini sudah mampu membuka kedai seorang diri dan memotong buah-buahan.
Tambahnya, dia rasa bertuah kerana sering dipermudahkan urusan dalam mencari rezeki serta bertemu dengan insan-insan baik seperti majikan serta rakannya itu.
















