MINAT terhadap aktiviti mendaki gunung telah membawa pemuda itu ke pelbagai puncak bukan sahaja di dalam tetapi juga luar negara.
Bermula dengan minat biasa hingga ke pencapaian menawan puncak kedua tertinggi dunia, sehingga kini dia tidak pernah puas untuk mencabar lebih banyak puncak yang ada di dunia.
Bagi mengabadikan kejayaan hidup yang dibina berdasarkan minatnya itu, pendaki gunung, Khafiz Al-Kicok tampil dengan karya sulungnya, Misi K2.
Menurutnya yang mesra disapa Kicok, buku Misi K2 merupakan sebuah travelog yang digarap dengan memuatkan pengembaraan dan inspirasi serta kisah perjuangannya yang membawa kepada pencapaian menawan Gunung K2 berketinggian 8,611 meter yang terletak di antara dua negara iaitu Pakistan dan China dua tahun lalu.
“Misi K2 bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga merupakan kisah perjuangan sebenar dalam menakluk cabaran alam dan diri.
“Ia juga merakam setiap cabaran yang saya lalui dalam hidup, ujian mental dan fizikal serta pengalaman yang digarap dengan penuh ketegangan dan motivasi,” katanya kepada CitaRasa pada Majlis Pelancaran Buku Misi K2 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya yang juga merupakan alumni UIAM, seiring tajuk, penekanan utama yang diceritakan dalam naskhah ini adalah perjuangan dari awal hingga dia menawan puncak K2.
Kongsinya, pendakian tersebut bukanlah sekadar sebuah ekspedisi tetapi merupakan sebuah perjalanan yang memerlukan pengorbanan besar bukan hanya dari segi ketahanan fizikal tetapi juga dari segi kewangan.
Setiap bab membawa cerita daripada bagaimana minat itu bermula, kenangan dalam pendakian, individu yang memberi inspirasi serta banyak membantu dan rentetan kepada misi untuk ke Gunung K2.

“Banyak yang saya ceritakan, jatuh bangun dalam hidup, bagaimana saya teguh dengan minat mendaki, motivasi dalam pendakian serta cabaran dan bagaimana saya mengatasinya.
“Ada bahagian yang orang tidak tahu untuk merealisasikan impian ke K2, saya terpaksa menjual rumah demi menampung kos pendakian yang mencecah hampir ratusan ribu ringgit,” ujarnya.
Katanya lagi, secara tidak langsung buku ini adalah satu motivasi yang boleh dijadikan inspirasi tentang bagaimana hidup boleh diteruskan dan menggapai impian yang mustahil untuk dijadikan satu kenyataan dengan usaha dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Mengulas tentang buku ini, penerbit, Bonda Nor mengatakan dia memilih untuk menerbitkan buku Misi K2 kerana ia merupakan sebuah buku yang menceritakan tentang bagaimana besarnya nikmat Allah SWT terhadap mereka yang tidak putus asa berusaha mencari reda-Nya dan tanda kekuasaan-Nya menerusi penciptaan alam.
Selain itu, penulisan serta gambar yang dikongsi penulis dalam naskhah tersebut sangat menarik dan penuh bermanfaat dan boleh menghidupkan refleksi pengalaman pembaca seolah-olah mereka turut berada dalam ekspedisi tersebut.
“Selain kisah perjuangan buku ini juga menunjukkan kita tentang keindahan alam pada altitut darat yang sukar dicapai dan digelar kejam buat manusia.
“Pengalaman individu seperti Kicok mencabar diri untuk mengharungi wilayah mencabar seharusnya dikongsi agar lebih ramai dapat memahami keagungan Allah SWT melalui sudut pandangan yang unik,” kongsinya.














