SETELAH sekian lama tayar motosikal mereka tidak ‘bergolek’ di jalan secara beriringan, kumpulan konvoi yang disertai kira-kira 40 buah motosikal berkuasa tinggi akhirnya berjaya melaksanakan Jelajah Johor Bike Week 2025 baru-baru ini.
Selepas lebih lima tahun tiada penganjuran, konvoi anjuran WBXAZ Event Management itu memang amat dinantikan mereka yang terlibat.
Salah seorang peserta, Wan Mohd. Haszize Fadullah yang mewakili pihak penganjur meluahkan rasa gembira dan teruja apabila misi mengadakan jelajah tersebut terlaksana.
Berlangsung selama tiga hari iaitu 21 hingga 23 Februari lalu, kata Wan Mohd. atau lebih mesra disapa sebagai WanB, acara konvoi itu dapat mengembalikan kegemilangan Jelajah Johor Bike Week yang lama ditinggalkan sejak tahun 2019.
Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara membuatkan aktiviti tersebut tidak dapat berlangsung kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan lama tertunda selama beberapa tahun.
“Saya sangat gembira dan bersyukur apabila berpeluang kembali mengadakan konvoi motosikal yang disertai peserta daripada kelab-kelab motosikal Johor seperti Johor Bikers, Sam Johor dan Lady Bikers Johor.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Johor Bike Week yang sekian lama tidak dapat dilakukan, iaitu kali terakhir pada 2019. Disebabkan itu selepas lima tahun, memang agak meriah kerana ada yang sudah lama tidak bertemu kembali bersua dalam aktiviti ini,” katanya kepada CitaRasa.
Kumpulan konvoi selama tiga hari itu menjelajah seluruh negeri Johor. Konvoi memulakan perjalanan di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor sebelum berakhir di Laman Mahkota Pasir Gudang.
Kongsinya, kegembiraan menunggang motosikal bersama ahli membuatkan dirinya belajar tentang kekuatan dan ketahanan diri saat menunggang motosikal dalam apa jua keadaan.
Mana tidaknya, cuaca panas dan hujan memberi cabaran buat penunggang motosikal lebih-lebih lagi kenderaan itu tidak mempunyai bumbung.
“Kami sebagai penganjur berusaha sedaya mungkin untuk mempromosikan jelajah ini. Peminat motosikal tidak mengira apa jua jenis turut boleh menyertai aktiviti anjuran kami.
“Tujuan konvoi ini dibuat adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli atau peminat motosikal,” katanya.
Bercerita mengenai aktiviti konvoi pada Februari lalu, WanB memberitahu, aktiviti itu menyebabkan mereka berpeluang berkenalan dengan ahli baharu di samping mengeratkan hubungan sesama ahli senior.
“Seperti yang dikatakan konvoi ini sudah lama tidak dilakukan, jadi ramai peserta yang terdahulu sudah terputus hubungan. Tetapi konvoi ini kembali semula mengeratkan hubungan kami.
“Begitu juga dengan peserta baharu yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti konvoi. Ada yang berhasrat untuk mempelajari bagaimana kumpulan konvoi ini bergerak kerana ingin melakukannya sendiri suatu hari nanti,” katanya.
Setelah Jelajah Johor Bike Week 2025 berjaya, WanB mengharapkan agar aktiviti tersebut dapat dilakukan lagi pada masa mendatang, selain tidak terhenti untuk satu tempoh yang lama.














