MELAKA – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menyediakan sebuah kediaman baharu kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam tragedi kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, dekat sini, semalam.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, keluarga itu telahpun ditempatkan di sebuah unit kosong di PPR sama.
“Alhamdulillah, di bawah pengurusan LPM kita ada satu unit kosong di PPR itu dan keluarga terbabit telah dipindahkan ke situ atas permintaan serta keselesaan mereka sendiri.
“Saya sempat meninjau keadaan rumah tersebut dan meneliti keperluan yang telah mula dilengkapkan oleh kakitangan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut Rais berkata, bantuan-bantuan lain akan turut disalurkan kepada enam sekeluarga itu termasuk keperluan persekolahan anak-anak.
“Insya-Allah, saya akan pastikan rumah ini selesa didiami dan mampu memberi sinar baharu kepada keluarga ini.
“Beberapa pihak berkaitan telah dimaklumkan untuk membantu keperluan keluarga ini khususnya kelengkapan sekolah dan keperluan harian mereka,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya berusia empat tahun ditemui maut dalam kebakaran di rumah mereka di PPR Krubong.
Menurut Siti Zaharah Borhan, 43, kejadian berlaku ketika dia sedang berehat di ruang tamu dan tidak menyedari bahawa mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima beradik bermain seorang diri di dalam bilik.
Katanya, ketika kebakaran berlaku dia segera menarik anak-anaknya keluar dari rumah dan hanya menyedari mangsa maut selepas pasukan bomba memaklumkan penemuan jasad kanak-kanak terbabit di dalam bilik tersebut. – KOSMO! ONLINE