PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan kelainan apabila berkolaborasi bersama animasi Ejen Ali menerusi Ucapan Khas Sempena Hari Guru 2025 hari ini.
Anwar pada hantaran Facebook berkongsi video ucapan berdurasi dua minit 20 saat itu dan ia memperlihatkan beliau memberi ucapan Selamat Hari Guru bersama-sama Ejen Ali serta watak-watak lain dalam animasi berkenaan.
“Hari ni kita berkumpul untuk meraikan wira luar biasa guru-guru kita. Seperti ejen terhebat, mereka sentiasa berjuang di medan ilmu, memastikan misi pendidikan tercapai.
“Semangat mereka tinggi menjulang menjadi tunjang utama negara kita. Saya bersama wira muda kita Ejen Ali dan rakan-rakannya ingin merakam ucapan jutaan terima kepada seluruh warga pendidik kita.
“Yang mengajar kita, mendidik kita, menyampaikan ilmu semata-mata untuk melahirkan generasi Madani. Sebab itu Ejen Ali, ingat… jangan ada angkuh, buli, Ejen Ali akan ada dan bantu kita,” katanya pada video berkenaan. ‘
Anwar berkata, warga pendidik merupakan wira sejati yang membentuk masa depan Malaysia.
“Teruskanlah misi menyemai ilmu dengan tulus dan tekad. Kami semua menjadi saksi betapa besarnya jasa guru,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, guru ialah insan mulia yang tidak pernah meminta untuk dipuja, tetapi setiap hari mereka menghembus kesabaran dalam mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang.
“Dalam kehidupan ini, siapa pun kita sama ada pemimpin, doktor, jurutera, petani, malah Perdana Menteri sekali pun, semuanya pernah belajar menulis, membaca dan mengira. Segalanya bermula di dalam bilik darjah.
“Maka sempena Hari Guru ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik. Setiap guru adalah seorang satria yang sabar membentuk akhlak. Satria yang teguh mempertahankan nilai.
“Tugas kita belum selesai kerana penat lelah membentuk sahsiah seorang insan tidak berakhir dengan tamatnya sesi persekolahan. Ia adalah amanah yang berterusan, dari satu generasi ke generasi seterusnya, demi meneruskan pembinaan masyarakat Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE