PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) waktu kepada semua pengendali bas.
Menerusi satu kenyataan, APAD berkata, permohonan itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun yang bakal diraikan pada 7 dan 8 Jun depan.
Jelasnya, permohonan itu dibuka bermula semalam sehingga 4 Jun depan dan syarikat yang berminat boleh mendaftar melalui sistem i-SPKP.
“Tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan ialah dari 5 hingga 10 Jun 2025.
“Tiada surcaj 10 peratus dikenakan bagi LPS waktu puncak ini,”kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, APAD berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik pada setiap masa.
“Ia sejajar dengan Nilai Teras Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan & Ihsan dalam meningkatkan mobiliti dan kesejahteraan rakyat melalui perkhidmatan pengangkutan awam darat yang selamat dan selesa,”ujar APAD. – KOSMO! ONLINE