PETALING JAYA – Seramai 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diberkas dalam satu operasi Jabatan Imigresen (JIM) Selangor di sekitar daerah ini semalam.
Operasi bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut disertai anggota dan pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan sembilan kawasan tumpuan warga asing.
Kawasan operasi adalah di sekitar Kampung Cempaka dan Pangsapuri Flora Damansara.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, menerusi operai terbabit seramai 83 orang warga asing telah diperiksa oleh pihak JIM dan dibantu MBPJ.
“Hasil pemeriksaan itu, seramai 30 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tamat tempoh.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen Sek. 15 (1) (c) Akta Inigresen 1959/63,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua yang ditahan itu kemudiannya di bawa ke depoh Imigresen untuk tindakan lanjut.-KOSMO ONLINE