LOS ANGELES, CALIFORNIA – Seorang penumpang sebuah penerbangan di Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah berhubung pertuduhan cuba membunuh pramugari dan membuka pintu kecemasan semasa pesawat berada di ruang udara, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku dalam penerbangan milik United Airlines yang berlepas dari Los Angeles menuju bandar Boston di negeri Massachusetts pada Mac 2023.
Rakaman video kejadian yang dimuat naik di media sosial menunjukkan suspek, Francisco Severo Torres, 34, mengancam untuk merampas pesawat dan membunuh semua lelaki di dalamnya.
Situasi bertambah cemas apabila dia menendang dan cuba menikam seorang pramugari dengan menggunakan sudu besi patah sebagai senjata.
“Tertuduh menyerang mangsa sebanyak tiga kali pada bahagian leher,” kata pendakwa raya.
Lelaki itu ditangkap dengan bantuan beberapa penumpang sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Logan.
Torres mengaku bersalah berhubung pertuduhan campur tangan dan cubaan membunuh kru menggunakan senjata berbahaya, demikian menurut Peguam Negeri Massachusetts, Leah Foley. – AGENSI