BAGHDAD – Seorang lelaki mati diserang oleh seekor singa peliharaannya hanya beberapa hari selepas dia membeli binatang buas itu di Kufah, Iraq, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Aqil Fakhr al-Din, 50, diserang Khamis lalu sebelum haiwan itu membaham sebahagian besar badan lelaki berkenaan di rumahnya.
Dia telah bertahun-tahun memelihara singa dan haiwan liar lain di taman rumahnya.
Menurut sumber kepada akhbar Al-Ghad, singa tersebut menerkam al-Din dan menggigit leher serta dadanya ketika dia mendekati sangkar haiwan itu.
Jiran Al-Din mendengar jeritan lelaki itu dan cuba menyelamatkannya dan menembak mati singa itu dengan raifal AK-47.
Polis sedang menyiasat kejadian itu. – AGENSI