ROM – Harapan Emma Raducanu untuk melangkah lebih jauh pada saingan Terbuka Itali terkubur selepas tewas kepada pilihan ketiga, Coco Gauff dalam pusingan keempat semalam.
Raducanu yang kini menghuni ranking ke-49 dunia, gagal menyaingi kehebatan Gauff apabila tewas straight set 1-6, 2-6 dalam perlawanan berlangsung di gelanggang tanah liat Foro Italico.
Raducanu mencatat pencapaian tersendiri apabila buat kali pertama dalam kariernya berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut di atas gelanggang tanah liat untuk mara ke kelompok 16 terbaik kejohanan tersebut.
Namun, Gauff yang juga pernah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan finalis Terbuka Perancis 2022, berada kelas tersendiri dengan permainan cukup agresif dari awal hingga akhir.
“Emma (Raducanu) sentiasa menjadi lawan yang sukar tidak kira di mana-mana permukaan gelanggang. Saya gembira prestasi hari ini, pukulan forehand saya menjadi senjata utama yang membantu untuk mengawal mata penting,” kata Gauff.
Biarpun tewas, Raducanu kekal positif dan tekad membawa prestasi terbaik ke kejohanan akan datang.
“Saya hanya mahu menjadi versi terbaik diri saya setiap hari. Hari ini mungkin tewas di gelanggang, tetapi saya tetap akan mencari cara untuk bangkit dan menang,” ujarnya.
Raducanu akan meneruskan persiapan ke Roland Garros dengan semangat baharu, terutama selepas memperkenalkan Mark Petchey dalam pasukan kejurulatihannya.
Sebagai rekod, kekalahan kepada Gauff menafikan peluang Raducanu untuk merampas kedudukan pemain nombor satu Britain daripada Katie Boulter. – AGENSI