PETALING JAYA – Ketua Polis Negara ,Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah buat keluarga anggota Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi tadi.
Beliau mewakili warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa dukacita dengan insiden yang meragut nyawa anggota pasukan keselamatan itu.
Katanya, jasa anggota yang terkorban amat dihargai kerana insiden tersebut berlaku selepas mereka selesai menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sekurang-kurangnya lapan anggota FRU maut dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Difahamkan, kenderaan yang membawa 15 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memberitahu, kesemua anggota FRU yang terbabit dalam kemalangan tersebut dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh.- KOSMO! ONLINE