PETALING JAYA – Lapan notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada kontraktor yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja pengorekan jalan di sekitar ibu negara, baru-baru ini.
DBKL dalam kenyataannya berkata, Operasi Bersepadu Korekan Jalan Awam itu dilaksanakan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sekitar Cheras, Bandar Tun Razak, Lembah Pantau, Segambut dan Bukit Bintang.
Katanya, pemantauan dan siasatan membabitkan sebanyak enam syarikat kontraktor.
“Hasil semakan, DBKL mengeluarkan kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 melibatkan kesalahan tidak meletakkan lampu blinker jalan, tiada kawalan lalu lintas, membuat halangan jalan awam, melonggokkan sisa dan menyebabkan kekotoran di tempat awam,” katanya.
Menurut kenyataan itu, CIDB turut mengeluarkan dua notis ke atas syarikat kontraktor yang tidak mematuhi notis pengemukaan maklumat untuk mendapatkan kelulusan bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti,” katanya. – KOSMO! ONLINE