fbpx

Suami isteri parah, motosikal dirempuh pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman video sebuah pikap jenis Nissan Navara melanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, semalam.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Duta, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali.

Manakala, isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah Nissan Navara dari arah kanan.

“Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal namun gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemandu Nissan Navara, lelaki berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis pada hari sama sekitar pukul 6.55 petang.

Katanya, pemandu pacuan empat roda berkenaan ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Beliau turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054.

Terdahulu, video kemalangan tersebut tular di laman Facebook selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI