PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu satu pelan pembangunan belia desa dirangka untuk memperkukuhkan kemahiran golongan itu terutama celik digital dan berpendidikan.
Katanya, inisiatif itu sekali gus melengkapkan belia dengan kemahiran seterusnya mampu beradaptasi dalam apa jua keadaan.
“Saya mahu satu hari nanti lahirnya Hab Gig Desa yang membuka peluang pekerjaan baharu, lahirnya Duta Belia Desa yang menjadi suara generasi baharu.
“Malah, terbinanya Program Pertukaran Belia Desa ASEAN yang membawa belia kita untuk menimba ilmu dan pengalaman di pentas antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW turut mahu pihak kementerian dapat mencorakkan agenda itu dengan penglibatan semua agensi dibawah KKDW melalui satu platform atau jawatankuasa.
Ini demi melahirkan Belia Desa Malaysia mampu meneroka dunia, melangkaui sempadan, dan bersaing gagah di pentas global.
“Saya mahukan kita mewujudkan satu jadual prestasi bulanan yang lengkap, menyeluruh dan telus.
“Kita mesti bergerak berdasarkan data, mendahului cabaran, memimpin dengan maklumat, dan menjawab dengan keyakinan,” katanya. – KOSMO! ONLINE