MELIHAT status WhatsApp Raff bersama ikan siakap putih menggunakan gewang saiz kecil dan set mengilat ultra-light membuatkan saya teruja. Lebih-
lebih lagi gambar tersebut berlatarbelakangkan sebatang sungai yang cetek dan kecil.
Saya terus menghubunginya untuk menyatakan hasrat untuk mencuba mengilat di lokasi tersebut. Alhamdulillah, dia sudi membawa saya ke sana.
Seperti yang dijanjikan, seawal pukul 7 pagi lagi Raff menunggu saya yang masih belum kunjung tiba. Maklumlah, lokasi memancing kali ini jaraknya agak jauh dari kediaman saya di Kota Bharu, Kelantan.
Kira-kira pukul 9 pagi barulah kami sampai ke lokasi yang dimaksudkan.
Terkejut rakan-rakan saya yang ikut sekali apabila melihat keadaan sungai, di mana luasnya hanya sekangkang kera dengan keadaan air cetek dan jernih.
Sebaik sahaja melihat keadaan sungai, Bob bertanya dengan penuh keraguan: “Ada ikan siakap putih ke dalam air macam ini?”
Saya hanya tersenyum melihat mereka yang masih tidak percaya melihat lokasi itu. Raff hanya tersengih bersahaja, mungkin terhibur dengan pertanyaan tersebut.
Raff lantas memberitahu, ada tempat-tempat tertentu ikan siakap putih lepak di sungai itu dan dia terus membawa kami ke lokasi sebenar.

Kami segera bergerak menuju ke lubuk yang dimaksudkan itu. Apabila sampai dan sebaik melihat sahaja pohon-pohon tumbang yang menutupi sebahagian daripada sungai, barulah kami yakin bahawa lubuk sekangkang kera itu pasti menyimpan banyak siakap putih.
Tanpa berlengah, kami terus memasang set mengilat dan pelbagai jenis gewang minnow dan soft plastic saiz mikro dicuba dengan harapan ada ikan siakap putih yang sudi.
Pesta bermula
Kami saling berganti melontar gewang di segenap sudut dirasakan berpotensi di sekitar struktur berupa pokok tumbang itu.
Ternyata usaha kami itu tidak sia-sia, apabila Raff yang lebih berpengalaman memancing di sini telah berjaya ‘memujuk’ seekor siakap putih membaham gewang mikro jenis sinking minnow Tachi Guppy Bilis empat sentimeter (sm).
Beberapa detik selepas itu, tiba pula giliran Bob kena seekor siakap putih dengan soft plastic berwarna oren bersaiz 1.5 gram (g) yang ditelan habis oleh ikan.
Selepas itu, sekali lagi Raff berjaya menaikkan seekor siakap putih di tempat sama.
Melihat masih ada antara kami tidak mendapat ikan, Raff menunjuk ajar kami cara terbaik untuk ‘memujuk’ siakap putih membaham gewang.
Caranya mudah sahaja, mainkan gewang sehingga ia beraksi dengan renangan menggila seolah-olah anak ikan lari ketakutan pemangsa.
Cara ini begitu cepat merangsang naluri siakap putih untuk membaham gewang.
Teknik yang diajar Raff itu betul-betul berkesan kerana selepas itu kami silih berganti menaikkan siakap putih.
Ikan yang terlucut sudah tidak terkira lagi jumlahnya dan siakap putih yang bersaiz kecil semuanya kami lepaskan.
Saya membenarkan setiap orang membawa pulang seekor siakap putih untuk dijadikan hidangan, itu pun yang melebihi 500 gram ke atas.
Pujuk dengan popper

Tidak lama kemudian, suasana secara tiba-tiba menjadi senyap. Ikan siakap putih tidak lagi mahu membaham gewang.
Mungkin akibat suasana kecoh, ia telah masuk semula ke dalam rimbunan pohon tumbang untuk berlindung.
Saya mencadangkan supaya mencuba popper kerana berpendapat dengan bunyi bising di permukaan air, ia bakal menggoda kumpulan ikan siakap putih untuk keluar dari struktur tersebut.
Memainkan popper memerlukan sedikit masa untuk memujuk kumpulan siakap putih tadi untuk keluar dari reba.
Namun, hasil usaha tanpa jemu akhirnya menemui kejayaan apabila popper yang dimainkan Raff dibaham siakap putih.
Selepas itu, keadaan kembali riuh, kumpulan ikan siakap putih betul-betul keluar dari sarangnya dan ini memberi kelegaan kepada kami.
Kami bergilir-gilir mendaratkan siakap putih, tetapi sayangnya, saiz ikan tidak memuaskan dan lebih layak dilepaskan kembali.
Selain siakap putih, ikan bulan atau tarpon juga banyak di sini.
Sambil melayan ikan siakap putih, kami turut mengewang ikan bulan.
Memandangkan tahap kepanasan cuaca yang sangat memeritkan, kami terpaksa menamatkan aktiviti mengewang sekitar pukul 12 tengah hari.
Di lain hari, kami akan kembali lagi ke sini untuk mencari ikan siakap merah pula.
















