KANGAR – Seorang lelaki warga emas yang disyaki melanggar tiga palang parkir pintar di pusat bandar ini direman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas peniaga berusia 62 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Nur Syafina Aina Zamri.
Menurut peguam suspek, Zuhair Mohd. Zakuan, polis membuat permohonan reman selama empat hari, namun dia memohon suspek tidak direman kerana lelaki itu menghidap penyakit jantung.
“Anak guam saya juga menguruskan perniagaan di sekitar pusat bandar Kangar dan risiko untuk melarikan diri juga hampir tiada.
“Mahkamah bagaimanapun menetapkan anak guam saya direman selama dua hari bermula hari ini hingga esok,” katanya ketika ditemui selepas proses permohonan reman selesai.
Kosmo! semalam melaporkan seorang ahli perniagaan berusia 62 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan khianat harta awam dengan merempuh tiga unit terminal palang parkir pintar di Jalan Seruling. – KOSMO! ONLINE