JAKARTA – Seorang wanita yang dianggap pelanggan setia ditangkap oleh pemilik kedai kerana mencuri tin sardin selama dua tahun di Pekanbaru, wilayah Riau, lapor portal berita Tribunjatim semalam.
Sepanjang tempoh itu, pemilik kedai berkenaan mengalami kerugian dianggarkan bernilai 100 juta rupiah (RM26,000), namun perbuatan wanita tersebut hanya diketahui Sabtu lalu.
Dalam satu rakaman video tular di media sosial, seorang wanita dihalang mengambil barangan yang dibelinya di kaunter oleh pemilik kedai tersebut.
“Keluarkan semua barang,” ujar pemilik kedai sambil merakam video.
Selepas wanita tersebut dibawa ke satu sudut lain, pemilik kedai memeriksa barangan miliknya dan menemukan dua tin sardin di dalam beg galasnya.
Pemilik kedai kemudian mengeluarkan lapan tin sardin yang disembunyikan di dalam seluar dipakai wanita berkenaan sehingga akhirnya, jumlah tin sardin yang ditemukan adalah 19.
“Sudah dua tahun awak menjadi pelanggan di sini, sardin saya habis dicuri!” kata pemilik kedai tersebut.
Setakat ini, tidak diketahui nasib wanita berkenaan, namun pemilik kedai ada menyatakan bahawa dia mahu membawa pelaku ke balai polis. – AGENSI