PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bergelar Datuk berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM450 juta.
Perintah reman selama dua hari sehingga esok dibenarkan ke atas Datuk berusia dalam lingkungan 60-an, manakala reman lima hari sehingga 9 Mei dikeluarkan terhadap seorang lagi suspek berusia 50-an.
Perintah reman dibenarkan Pendaftar Siti Roslizawati Mohd. Zanin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM450 juta.
“Ia menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti daripada sebuah pejabat wilayah bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.3 bilion,” katanya hari ini.
Jelasnya, tangkapan terbaharu ini dibuat susulan penahanan sebelum ini melibatkan tuntutan palsu bernilai RM360 juta dengan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM800 juta.
Suspek bergelar Datuk sebelum ini pernah direman empat hari sehingga 3 Mei membabitkan kes tuntutan palsu kira-kira RM360 juta. Lelaki itu ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM450 juta.
Minggu lalu seramai lima individu direman berhubung kes ini dengan empat daripada mereka sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














