PENGALAMAN pertama kali menggunakan realiti maya (VR) saat bercuti bersama keluarga menjadi momen yang tidak dapat dilupakan oleh penyanyi dan guru muzik popular, Datuk Syafinaz Selamat.
Meskipun sedar gajet moden tersebut sudah lama wujud, namun pelantun lagu Ingin Bersamamu itu tidak pernah terdetik untuk mencuba sebelum ini, apatah lagi terlintas memilikinya.
Berkongsi cerita pertama kali mencuba VR, Syafinaz, 52, mengakui teruja dan tidak menyangka alat tersebut mampu memberi kegembiraan dan meningkatkan adrenalin si pemakai.
“Jika bercerita tentang teknologi saya agak kurang berpengetahuan sikit, jadi apabila berpeluang menggunakan VR memang teruja sebab pertama kali baru memakainya.
“Saya cuba selepas cucu saudara minta untuk merasai sendiri pengalaman memakai VR ketika kami bercuti di Dalat, Vietnam. Kita tengok zaman sekarang ini banyak benda yang sangat futuristik dan semuanya menyeronokkan.
“Berbeza dengan masa dahulu jika kita hendak bersukan perlu melakukan gerakan fizikal dan bermain permainan fizikal seperti pergi ke padang atau melakukan di luar rumah. Tetapi sekarang berbeza kerana hanya memakai VR di mata dan terus boleh bermain walaupun di mana saja,” katanya kepada K-Tekno.

Disebabkan pertama kali menggunakan VR, Syafinaz mengakui tidak mahir dan kekok untuk menggunakan permainan tersebut meskipun secara mata kasar, permainan video itu agak mudah.
“Mencuba benda baharu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini bagi saya sangat menyeronokkan. Permainan video itu juga kelihatan agak mudah dan lucu bagi orang lain, tetapi bagi saya boleh tahan susah juga apabila kita perlu memotong bongkah-bongkah yang datang dengan menggunakan pedang.
“Awalnya agak sukar, kemudian apabila sudah terbiasa jadi seronok dan mencemaskan juga apabila bongkah-bongkah itu bergerak pantas sehingga berasa seperti hampir melanggar saya, walhal itu cuma permainan video.
“Apabila seronok bermain saya mula rasa seperti ingin memilikinya, tetapi masih berbelah bahagi sama ada ingin membelinya atau tidak. Kalau ada yang ingin menghadiahkan kepada saya pun tidak menjadi masalah, seronok juga sebenarnya bermain VR ini,” katanya saat berkongsi pengalaman bermain permainan video Beat Saber.

Bagaimanapun, bagi Syafinaz teknologi canggih itu tetap memerlukan pemantauan terutama melibatkan golongan kanak-kanak kerana bimbang dapat memberi pengaruh buruk kepada mereka.
“Saya akui teknologi akan memudahkan, tetapi harus diingat kerana setiap hal digital itu mempunyai baik dan buruk. Sama juga seperti permainan VR ini kerana sebilangan permainan video agak keterlaluan seperti melibatkan kecederaan fizikal, membuli dan kekasaran.
“Bimbang jika terlalu kerap menggunakan akan membuatkan mereka keliru dan tidak dapat membezakan antara dunia nyata dan realiti.
“Seperti pengalaman saya sendiri walaupun hanya menggunakan VR untuk beberapa minit, saya dapat merasakan keterujaan apabila melihat permainan video itu seperti benar-benar berada di depan mata dan membuatkan seperti ‘masuk’ ke dalam permainan video itu,” katanya.














