fbpx
ZAM terkejut selepas mendapat tahu bahawa orang kampung mula mengaitkan Mak Jah dengan ilmu hitam dan warungnya dikatakan menggunakan daging manusia. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Daging manusia pelaris warung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN sudah 20 tahun berlalu, namun tekak lelaki berusia lebih separuh abad itu masih terasa keenakan nasi goreng daging yang dimakannya ketika menetap di sebuah kampung di Pantai Timur.

Rasa, tekstur dan aroma nasi goreng daging itu cukup sempurna bagi Zam (bukan nama sebenar) dan dia tidak kisah untuk makan menu itu pada setiap hari.

Begitu pun, ada kisah seram yang membelenggu warung itu dan turut dikaitkan dengan kematian seorang pemuda di kampung tersebut.

Akibatnya, kedai makan yang hanya dikenali sebagai warung Mak Jah itu dibakar oleh penduduk kampung kerana mengaitkan pemiliknya dengan ilmu hitam.

Membuka bicara, Zam berkata, dia pertama kali makan di warung itu pada tahun 1999 selepas berpindah ke kawasan tersebut.

“Memandangkan saya baru berpindah di situ, maka saya mahu meninjau kawasan sekitar dan berkenalan dengan penduduk kampung.

“Saya kemudian terlihat warung Mak Jah yang ketika itu dipenuhi orang ramai yang sedang menjamu selera.

“Saya yakin, pasti kedai itu sedap dan tanpa berfikir panjang terus mencuba menu yang disajikan di warung tersebut,” kata Zam.

Nasi goreng daging menjadi menu paling laris di warung kecil itu. Selepas mencuba menu tersebut, Zam terkejut kerana tidak pernah makan nasi goreng daging seenak itu.

“Rasa seperti masakan ibu kita sendiri, namun jauh lebih enak. Tukang masaknya adalah Mak Jah sendiri. 

“Dia memberitahu bahawa menu tersebut adalah signatur di warungnya dan merupakan resepi turun-temurun,” cerita Zam.

Sejak itu, warung Mak Jah menjadi ‘port’ makan paling disukai Zam selama bertahun-tahun tinggal di situ.

Namun pada 2003, Zam ditukarkan ke jabatan lain dan perlu berpindah ke ibu kota. 

Ketika itu, Zam terfikir bahawa dia pasti akan merindui masakan di warung Mak Jah kerana mungkin sukar menikmati juadah seenak itu di bandar.

Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, Zam mendapat tahu bahawa ada yang tidak kena dengan warung Mak Jah sehingga menjadi bualan penduduk kampung.

Kekecohan timbul selepas salah seorang pemuda di kampung itu yang dikenali sebagai Din dikatakan ternampak Mak Jah melakukan satu upacara pelik di kawasan hutan berdekatan warungnya.

Upacara itu juga melibatkan darah yang banyak, dipercayai darah manusia. Din terus memaklumkan perkara itu kepada penduduk kampung, khususnya pelanggan tetap Mak Jah.

Selepas insiden itu, Din dikatakan mula mengalami kejadian aneh seperti sering bermimpi tubuhnya dicincang oleh seorang wanita menyerupai Mak Jah. 

Tidak lama kemudian, Din ditemui meninggal dunia secara tiba-tiba di rumahnya.

“Orang kampung mula mengaitkan Mak Jah dengan ilmu hitam sebagai pelaris, bahkan ada yang memberitahu bahawa nasi goreng daging Mak Jah itu barangkali dimasak dengan menggunakan daging manusia.

“Beberapa hari selepas memulakan tugas di Kuala Lumpur, saya mendapat maklumat bahawa warung Mak Jah sudah pun dibakar oleh penduduk kampung.

“Mak Jah bagaimanapun tiada di warungnya ketika kejadian. Penduduk kampung percaya dia sudah melarikan diri dan hilang entah ke mana,” katanya.

Biarpun masih terkenang keenakan masakan Mak Jah, namun Zam berasa seram sejuk apabila teringat kejadian yang menimpa Din dan kebarangkalian termakan daging manusia.

“Apa-apa pun, saya tidak tahu sama ada kisah itu benar, kebetulan atau cuma satu cerita dongeng bagi menakut-nakutkan penduduk kampung,” ujar Zam sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN