fbpx
IBU bapa perlu berhati-hati ketika menerima pautan yang dikongsi individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Link bantuan palsu taktik scammer makan duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Perkongsian mengenai jemputan kad kahwin dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara taktik paling popular yang digunakan oleh scammer untuk mengaut keuntungan mudah dengan memperdaya ibu bapa.

Seorang pentadbir aplikasi kumpulan WhatsApp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dikenali Hishamuddin, 53, berkata, dia sentiasa mengingatkan ahli kumpulan agar berwaspada terhadap sebarang pautan yang meragukan.

Katanya, ini termasuk jika mereka menerima mesej atau pautan yang kononnya daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG.

“Sebagai ‘admin’, saya sarankan ibu bapa semak dulu sekiranya mendapat arahan berantai untuk menekan pautan dan diarahkan muat turun aplikasi. Sudah pasti ia adalah scammer, jangan cari penyakit.

“Pernah ada kes, nombor AJK digodam scammer dengan menghantar mesej STR. Kami bernasib baik apabila AJK terbabit memaklumkan nombornya digodam seterusnya mengelakkan ibu bapa menekan pautan ber­kenaan,” katanya.

Katanya lagi, dia akan me­madamkan segera mesej-mesej sedemikian selaras dengan tugas sebagai pentadbir agar tiada ahli kumpulan yang menjadi mangsa penipuan.

Bagi seorang bapa, Ahmad Ibrahim, 46, dia mengakui pernah menerima kad jemputan kahwin yang dihantar dalam kumpulan WhatsApp PIBG sekolah anaknya.

“Bila terima kad jemputan kahwin di dalam kumpulan WhatsApp, berhati-hatilah ke­rana jarang orang jemput dalam kumpulan WhatsApp PIBG.

“Biasanya majlis perkahwinan tuan rumah menjemput saudara dan sahabat yang dikenali bukan jemputan rambang begitu.

“Lebih meragukan jika kumpulan WhatsApp tersebut terdiri daripada ibu bapa berumur awal 30-an. Tidak logik mereka ada anak yang sudah dewasa dan akan melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, sumber ke­selamatan menasihatkan semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk bantuan kewangan meskipun pautannya itu dikongsi dalam kumpulan WhatsApp dikenali.

Beliau berkata, taktik berkongsikan pautan termasuk kononnya daripada bantuan kerajaan adalah sama sahaja seperti iklan-iklan pelaburan saham palsu.

Katanya, modus ope­randi sindiket memang untuk mengiklankan bantuan palsu sebelum mengarahkan mangsa menekan pautan yang membawa kepada laman web palsu (phishing).

“Selepas masuk ke dalam laman web palsu, mangsa kemudian akan diarahkan membuka pautan lain-lain sehinggalah terperdaya berkongsikan maklumat peribadi termasuklah berkaitan akaun bank.

“Jadi sebenarnya WhatsApp ni sebagai ‘alat’ sahaja untuk sindiket ini menjalankan kegiatan mereka. Walaupun kumpulan WhatsApp itu kita kenali, ja­ngan sesekali terperdaya dengan sebarang bentuk pautan tidak dikenali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN