fbpx
Dr. Azmi dengan udang galah pertamanya.

‘Tarian’ si sepit biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Negara kita sebenarnya sangat bertuah kerana pelbagai genre pancingan boleh dilakukan untuk bermacam spesies ikan. Ini termasuk pancing dasar, pancing berpelampung, casting, trolling, fly fishing dan lain-lain lagi. Tidak lupa juga pancingan istimewa, udang galah.

Bertempat di jeti Cikgu Ayub, Kampung Sepakat, Kuala Selangor, saya bersama dengan Dr. Azmi menempah sebuah bot berenjin Suzuki 15hp berserta dua bekas anak-anak udang yang akan dijadikan sebagai umpan untuk memancing udang galah.

Pada pukul 8 pagi, kami menghulu untuk mencari lubuk sasaran seperti mana yang disarankan oleh Khairol iaitu anak Cikgu Ayub selepas saya bertanya arah yang sesuai memancing udang.

Selepas bergerak kira-kira 10 minit, saya meminta Dr. Azmi menambat tali bot pada salah satu pohon berembang yang dahannya terjuntai ke sungai. Bagi peman­cing udang, anda harus sentiasa berwaspada sebelum merapatkan bot dan memegang ranting pokok.

Mata wajib meninjau terlebih dahulu ke dedaunan, ranting dan dahan pokok, takut-takut ada ular berselindung di sana. Jika tidak naya, trip balik awal atau anda dihantar awal ke alam yang satu lagi.

Bermula
Kelihatan lokasi pertama ini cantik dan memberangsangkan. Umpan dilabuhkan, lebih kurang 10 minit kemudian joran Dr. Azmi melendut ‘manja’ menandakan ia sedang menerima ‘tarian’ pertama oleh sang sepit biru.

Kekili terus dikarau dan sebaik sahaja melepasi permukaan air, udang galah tersebut mendepangkan sepit birunya seperti orang menari ronggeng. Ia disusuli bunyi kocakan air ketisan ekornya memukul permukaan air dalam usaha melepaskan diri.

Namun, rezeki tetap berpihak kepada Dr. Azmi dengan menaikkannya terus ke dalam bot.

Berbekalkan joran aksi ringan dipadankan dengan kekili spinning saiz 2000 ke bawah yang dimasukkan tali utama berkekuatan antara lima hingga lapan paun (lbs), ia sudah cukup mengasyikkan melayan udang galah di sini.

Selepas 10 minit berselang, Dr. Azmi menaikkan seekor udang lagi, sekali gus menjadikan kedudukan kutipan keseluruhan tiga berbalas kosong.

Beginilah suasana sungai tempat pancingan udang kami.

Setengah jam selepas itu, barulah saya pula mendapat tarikan udang dengan tarian ala ronggengnya.

Selepas 10 minit, joran udang saya melengkung hebat ditarik sesuatu yang pada firasat saya bukannya udang galah.

Akhirnya, teka teki terjawab, seekor ikan jelawat terpaksa didaratkan dengan menggunakan tangguk kerana mata kail udang yang halus itu mungkin boleh terkangkang kerana ia tidak dapat menampung berat ikan.

Sememangnya, itu kali pertama saya mendapat ikan jelawat dengan menggunakan set pancing udang galah.

Pindah
Pada pukul 10 pagi, kami berpindah ke lokasi lain. Kali ini menghala ke hilir pula. Seperti tadi, juntaian pohon berembang menjadi tempat tambatan tali bot. Tidak menunggu lama, joran Dr. Azmi melengkung lagi dan hasilnya seekor udang remaja tewas.

Gelojoh agaknya pantang nampak umpan terus makan, gurau saya kepada Dr. Azmi. Kemudian, saya pula mendapat udang kedua.

Sekali lagi joran saya ditarik ikan, tidak lama kemudian seekor ikan ketutu didaratkan.

Ini bermakna, selepas trip ini, kalau saya turun memancing lagi di sini, saya kena bawa juga set pancing ikan kerana banyak spesies ikan-ikan lain turut berminat dengan umpan anak udang yang kami gunakan.

Setelah beberapa kali berpindah mencari lokasi sesuai untuk menjejaki lubuk udang, ia berakhir dengan kehampaan.

Mungkin disebabkan faktor air yang tidak menyebelahi kami atau mungkin juga kerana umpan anak udang kurang efektif sewaktu trip tersebut.

Sepatutnya, kami perlu juga bawa umpan-umpan lain sebagai alternatif seperti cacing tanah, perumpun atau anak ikan guppy. Akhirnya, pada pukul 4 petang kami bergerak pulang.

Tidak berpuas hati dengan hasil yang diperolehi di Kuala Selangor, saya mengulanginya semula pada bulan berikutnya di jeti Pak Badar Banting pula bersama Toskhan, Zaininudin, Zulkhair, Anuar dan Zam Desa.

Kami menempah dua buah bot dengan tiga orang peserta bagi setiap bot.

Tiada bezanya meman­cing udang galah di sini dari segi bot, umpan dan kaedah.

Hanya tempat sahaja yang berbeza. Hasilnya juga tidak sebanyak mana, cukup sekadar lepas makan untuk seorang atau dua orang.

Adakah saya serik? Mana mung­kin, kerana pancingan udang ini merupakan minat saya yang utama, saya pasti akan turun lagi nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN