PENGHUJUNG bulan ini ‘tetamu-tetamu Allah’ atau duyufurrahman bakal mula membanjiri Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima. Seramai 31,600 kuota haji 1446H/2025M bagi jemaah Malaysia telah diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi.
Melalui maklumat yang dipaparkan di laman web Lembaga Tabung Haji (TH), penerbangan pergi kapal terbang (KT) pertama membawa jemaah Malaysia bermula pada 29 April ini dan penerbangan pergi KT terakhir adalah pada 30 Mei depan.
Selain itu, difahamkan pasukan petugas TH pula bakal berlepas ke Tanah Suci bermula Isnin depan.
Terdapat lapan stesen berlepas bakal haji seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.
Berikutnya adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak; Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu; Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Menjadi tetamu Allah semestinya suatu pengalaman istimewa, selain jemaah haji harus menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya sekali gus melakukan ibadah ini sesempurna mungkin.
Pada musim haji tahun ini, dijangka lebih 1.8 juta jemaah menunaikan ibadah tersebut. Jemaah-jemaah haji di Malaysia juga sudah mula menerima jadual penerbangan selain melakukan persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Hari Arafah ialah pada 9 Zulhijjah atau 5 Jun depan di Mekah, manakala di Malaysia ialah pada 6 Jun 2025. Ketika ini bakal-bakal haji akan berhimpun di Padang Arafah bagi melakukan ibadah wukuf.
Dalam memastikan segala pergerakan besar-besaran jemaah ini berjalan lancar terutamanya melibatkan bakal haji dari Malaysia sudah semestinya tugas berat ini dipikul oleh petugas TH sendiri.
Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar baru-baru ini, meskipun jumlah petugas pada tahun ini berkurang lima peratus, namun perkhidmatan TH tetap pada kualiti terbaik.
Katanya, jumlah Petugas Rombongan Kebajikan dan Petugas Rombongan Perubatan adalah seramai 568 berbanding 620 orang pada tahun lalu.
“Insya-Allah ia tidak akan mengurangkan langsung cara petugas TH menyantuni jemaah-jemaah haji tahun 1446 Hijrah,” ujarnya.
Kelmarin, Malaysia kehilangan Bapa Pembangunan Modal Insan. Membesar di zaman pemerintahan beliau, acap kali kita disuguhkan dengan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Penulis turut berdukacita atas pemergian Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Al-Fatihah. Terima kasih Tun atas sumbanganmu kepada negara.















