fbpx
Double strike ikan senangin menggunakan gewang Zerek Fishtrap saiz 23g.

K2

Demam gewang ‘soft plastic vibe’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kalau tidak silap saya, gewang ini telah diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun 2016. Pada waktu itu, cuma ada tiga jenis berat yang diperkenalkan iaitu 10, 23 dan 30 gram (g) dan masing-masing bersaiz 65, 95 dan 110 milimeter (mm).

Pada waktu itu, saya banyak menggunakan soft plastic yang rata-ratanya memiliki berat dalam tujuh ke 17g iaitu sekurang-kurangnya saiz 65 ke 89mm. Pilihan saiz yang saya pilih pastinya adalah lebih kepada 10 dan 23g Zerek Fishtrap sahaja dan bukannya 30g.

Teknik yang salah telah menyebabkan trip percubaan saya tidak berjaya mendapatkan apa-apa tangkapan dengan menggunakan soft plastic tersebut.

Pelbagai kedalaman

Soft plastic ini diperbuat daripada plastik TPE yang kuat, kenyal dan pemberat serta pusat cangkukkan mata kail dihubungkan dengan wayar. Sehingga sekarang terdapat pelbagai saiz dan saiz terbaharu gewang ini adalah 160mm. Ia dilengkapi dengan profil ‘weedless’ yang tidak mudah tersangkut.

Terdapat juga gewang jenama lain dengan profil seakan-akan sama yang boleh dibeli di pasaran dan secara online.

Keistimewaan gewang jenis ini adalah kesesuaiannya digunakan pada pelbagai jenis kedalaman.

Gewang warna Barred Grunter berjaya menggoda ikan tanda ini.

Bagaimana mengenal pasti ia masih beraksi cantik di pelbagai kedalaman?

Sekiranya dihenjut dan joran diangkat sewaktu menggunakannya, anda pasti akan merasa getaran pada tangan yang mengangkat joran.

Sekiranya ia terasa agak berat, berkemungkinan gewang anda tidak beraksi dengan betul. Kadangkala mata kail tersangkut pada badannya atau tali adalah antara faktor kegagalan.

Cara penggunaan yang betul selepas anda melempar gewang atau menghulurkan gewang ini ke dasar, angkatkan joran secara perlahan untuk merasakan getaran gewang dan tundukkan joran kembali sambil mengili masuk tali anda. Lakukan ia berulang kali sehingga sampai ke permukaan.

Selain teknik ini, anda juga boleh mengangkat joran dan jatuhkan kembali berulang kali sekiranya teknik memancing berhanyut bot (drifting) dipraktikkan. Teknik ini lebih menyasarkan kepada spesies ikan di dasar terutamanya di kawasan lubuk-lubuk yang luas.

Saya lebih suka mempraktikkan teknik ini sekiranya target lubuk utama di tengah-tengah sungai yang dalam. Ini akan dilakukan berulang kali sehinggakan tiada lagi sambaran daripada pemangsa dasaran.

Set ideal

Sewaktu penggunaan soft plastic seperti Zman, Berkley dan udang Zerek yang lebih ringan, saya suka memilih set joran lebih kecil seperti kelas 6-12 paun (lb) atau 8-20lb.

Ini kerana ia mudah untuk saya mengesan getuan halus daripada ikan, begitu juga saiz tali yang digunakan adalah 15lb ke bawah. Kesensitifan joran yang digunakan amat penting supaya saya dapat merasakan aksi gewang dan getuan ikan.

Gerong belang juga tergoda dengan Fishtrap.

Namun sebaliknya, sewaktu saya menggunakan soft plastic Zerek Fishtrap ini, saya lebih suka menggunakan joran kuat seperti joran PE2.5 dan PE3 untuk gewang bersaiz 23 hingga 30 gram.

Ada kalanya, saya juga menggunakan joran PE4 atau lebih besar lagi, bergantung lokasi dan ikan sasaran. Penggunaan joran sebegini bagi memudahkan ketika mengili masuk gewang kerana ia terasa lebih berat terutama sekali apabila arus sungai atau laut sedikit laju. Oleh itu, saya lebih suka menamakan Zerek Fishtrap ini sebagai gewang ‘crankbait lembut tanpa bibir’.

Sungai dan laut

Saya pernah menggunakan soft plastic ini di pelbagai lokasi
pancingan termasuk sungai, muara dan laut. Gewang ini boleh beraksi di mana-mana dan terbukti berkesan.

Bagi tempat yang mempunyai terlalu banyak struktur-struktur di dasarannya, penggunaan mata kail tunggal disarankan untuk mengurangkan risiko tersangkut.

Ada kalanya, penggunaan mata kail tunggal menyebabkan kes rabut juga mudah terjadi. Oleh itu, ia masih tergantung lokasi pancingan, di mana ada masanya saya cuma gunakan mata kail tunggal pada bahagian depan gewang dan mata tiga pada bahagian belakang.

Di sungai atau muara, saya lebih suka menggunakan gewang Fishtrap yang bersaiz 10g dan 23g. Manakala saiz 30g pula, saya gunakan sewaktu memancing di laut kerana lebih cepat untuk sampai ke dasar serta ikan sasaran juga kebanyakannya lebih besar.

Kepelbagaian spesies

Pelbagai spesies ikan pernah dinaikkan dengan menggunakan gewang ini. Antara spesies yang pernah saya naikkan di sungai atau muara adalah seperti ikan merah tanda, gelama, siakap merah, siakap putih, kerapu, senangin dan belukang.

Kadang-kadang spesies seperti ikan depu dan sembilang yang disangkakan kurang agresif juga turut pernah saya daratkan.

Rakan saya juga pernah menaikkan ikan pari di muara sungai sewaktu menggunakan gewang ini.

Manakala di laut pula, spesies seperti gerong belang, ebek, tenggiri, landok dan pelbagai spesies ikan karang yang lain pernah juga saya naikkan dengan gewang ini.

Ini membuktikan bahawa gewang tersebut atau yang seum­pamanya berkesan digunakan di mana-mana perairan dengan penggunaan teknik sesuai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN