SUBANG JAYA – Di sebalik segala kemusnahan yang berlaku susulan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas baru-baru ini, rata-rata penduduk Kampung Kuala Sungai Baru di sini mula bangkit dengan melakukan kerja-kerja baik pulih rumah dan premis yang musnah sejak 1 April lalu.
Tinjauan mendapati, penduduk yang layak juga mula dibenarkan masuk ke kawasan terjejas selepas melalui prosedur ketat keselamatan.
Penduduk yang ingin membuat kerja-kerja pembaikan juga dibenarkan menaiki van milik Prasarana dan perlu melalui pemeriksaan ketat oleh anggota polis yang berkawal di pos kawalan utama.
Selain itu, beberapa rumah penduduk juga mula dibaik pulih melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik selain pemasangan tangki air.
Turut kelihatan kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak teruk impak haba panas dan gegaran letupan.
Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Mohd. Asri Yunus berkata, proses membaik pulih bangunan institusinya telah dimulakan sejak pagi semalam.
“Ada beberapa kerosakan yang berlaku di maahad ini. Bumbung zink, paip dan tangki air semua cair dan perlu diganti baharu.
Katanya, mereka mengambil inisiatif membaik pulih bangunan institusi tersebut secepat mungkin demi memastikan pembelajaran pelajar tidak terus terganggu.
“Hari ini (semalam) kami siapkan semua kerja baik pulih dan bersihkan kawasan supaya pelajar boleh masuk semula esok (hari ini),” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Asri turut bersama lima kakitangannya turun padang membantu kerja-kerja baik pulih di lima buah rumah penduduk yang terjejas.
Jelasnya, antara bantuan yang diberikan termasuk membaiki sistem pendawaian elektrik, menukar paip air rosak serta membersihkan kawasan kediaman yang sebelum ditinggalkan dalam keadaan berselerak akibat insiden tersebut.
“Kami bukan saja pulihkan maahad, tapi turut bantu jiran-jiran yang rumah mereka rosak teruk. Ini masa untuk kita saling bantu-membantu,” ujarnya.
Dalam kejadian awal pagi pada 2 Syawal lalu, sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya, manakala 225 kenderaan pula rosak akibat terbakar.
Susulan itu, polis mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.














