fbpx
RAMAI terjerat hutang semata-mata mahu memenuhi kehendak diri. - GAMBAR HIASAN

Berbelanja sakan raya jangan sampai papa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini sudah 20 hari umat Islam berpuasa. Ini bererti kita sudah memasuki 10 hari terakhir yang amat dinanti-nantikan kerana terdapat malam lailatulqadar yang merupakan malam lebih baik dari seribu bulan.

‘Pecutan terakhir’ amat digalakkan untuk meningkatkan ibadah, berdoa, dan memohon keampunan sebanyak yang mungkin.

Dalam masa sama, perburuan juga dilakukan apabila berbondong-bondong orang mendapatkan pelbagai kelengkapan raya termasuk biskut raya.

Pesta jualan rancak berjalan dengan tawaran harga runtuh sama ada jualan di premis secara fizikal atau dalam talian seterusnya meningkatkan ekonomi domestik.

Di waktu ini, kawalan nafsu yang dipelajari sepanjang Ramadan teruji sepenuhnya. Sesetengah pembeli atau pengguna sanggup berbelanja seperti kata pepatah ‘biar papa asal
bergaya’.

Jadi, tidak hairanlah apabila ramai yang terjerat diri dengan hutang dan komitmen yang tinggi semata-mata mahu memenuhi kehendak diri.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam laman sesawang turut menitipkan pesanan antaranya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan iklan-iklan yang menawarkan pelbagai tawaran menarik.

Katanya, pengguna juga perlu berfikir panjang bertanya kepada diri sendiri sama ada barangan itu benar-benar diperlukan atau kehendak semata-mata.

“Walaupun musim perayaan hanya setahun sekali, ia tidak semestinya diraikan dengan cara bermewah-mewahan.

“Jika tabiat berbelanja mewah menjadi suatu kebiasaan, ia akan memberikan impak yang negatif.

“Dengan menyedari keperluan sebenar dan membuat pilihan bijak, pengguna boleh menikmati perayaan tanpa berbelanja secara berlebihan,” katanya.

Setiap daripada kita sepatutnya mempunyai ‘sistem penggera’ sendiri menerusi amalan pengurusan kewangan supaya perbelanjaan yang dilakukan tidak terlalu boros sehingga menyusahkan diri sendiri di kemudian hari.

Kaunselor Berdaftar dan Mental Performance Trainer, Nurulisa Poli memaklumkan, adalah sukar untuk menahan godaan membeli kerana ia dipengaruhi sama ada mengikut hati, wang atau trend semasa.

Katanya, pembelian juga didorong oleh rasa simpati yang ingin menyokong penjual atau peniaga tular.

“Kita ini hanya manusia biasa yang ada emosi. Cuma, ia berbalik kepada kemampuan dan bajet diri seseorang agar tidak terjerumus dalam tekanan kewangan berlebihan menjelang atau semasa perayaan Aidilfitri,” katanya kepada Kosmo!.

Antara perkara lain yang boleh dilakukan adalah menjadi kreatif dengan ‘kitar semula’ busana serta hiasan rumah.

“Kita jadikan sesuatu yang ada itu seperti baharu dengan menaikkan auranya. Misalnya baju raya lama dibuang manik dan digantikan aksesori lain.

“Inspirasi atau DIY (buat sendiri) boleh diperoleh di pelbagai platform media sosial. Justeru, kita dapat meminimumkan perbelanjaan namun pada masa sama boleh menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN