BATU PAHAT – Sepasang suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga tiga bulan lepas maut selepas kereta Honda Insight yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 128.3, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, berhampiran Yong Peng di sini, pagi semalam.
Mohd. Shahrul Nizam Mohd. Ali, 24, dan isterinya, Nursuhada Kartika Razak, 23, masih lagi dalam fasa berbulan madu sejak mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu.
Mereka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Menurut ibu saudara mangsa, Nur Nabila Huda Syawal Doraisamy, 23, sebelum kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, pasangan itu difahamkan dalam perjalanan dari Mersing ke Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Saya adik kepada ibu Mohd. Shahrul Nizam. Kakak saya cakap mereka nak ke Kuala Lumpur, katanya nak jalan-jalan berbuka di sana dan mungkin sambil-sambil mencari baju atau kuih raya.
“Mereka baru berkahwin pada Disember tahun lalu, tidak sangka usia perkahwinan mereka tidak lama dijemput Ilahi bersama-sama.

“Apa yang menyentuh hati kami, isteri arwah Mohd. Shahrul Nizam ditemui meninggal dunia dalam keadaan memegang dokumen seperti kad pengenalan diri, sijil atau kad kahwin di atas riba,” katanya di sini semalam.
Nur Nabila berkata, Mohd. Shahrul Nizam merupakan anak kedua daripada lapan beradik dabn bekerja sebagai penyelia ladang di sebuah ladang kelapa sawit, manakala isterinya suri rumah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang lebuh raya, lalu berpusing beberapa kali.
“Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X90 yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.
Pemandu SUV yang berusia 50-an mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.














