fbpx
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perbelanjaan untuk membeli kelengkapan raya bagi mengelak menanggung beban hutang yang besar. Foto oleh FARIZ RUSADIO

Melaram sehari, tanggung hutang setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Diam tak diam, umat Islam sudah berpuasa selama dua minggu. Kira-kira dua minggu lagi kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri, tanda kemenangan selepas sebulan bermujahadah di bulan Ramadan.

Tahun ini Ramadan disambut secara sederhana, tetapi meriah di seluruh negara. Bazar Ramadan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pengunjung bukan sahaja mahu membeli juadah untuk berbuka, tetapi ada juga yang hanya ‘menjamu mata’.

Menerusi perkongsian gambar dan video di media sosial, bazar Ramadan masih lagi menjadi pilihan orang ramai bukan sahaja mereka yang beragama Islam, tetapi kaum-kaum lain berbelanja.

Mereka memeriahkan bazar Ramadan membeli aneka juadah yang dijual. Itulah uniknya Malaysia, rakyatnya berbilang bangsa dan meraikan antara satu sama lain.

Namun, ada peniaga yang diuji dengan musibah. Cuaca tidak menentu, hujan lebat dan angin kencang sepanjang Ramadan ini menyebabkan ada peniaga yang terkesan.

Khemah patah ditiup angin, barangan jualan rosak dan basah. Ini ujian yang golongan peniaga perlu hadap.

Bagi persiapan raya pula, ada yang sudah mencari pakaian raya sejak beberapa bulan lepas. Mereka membuat perancangan awal supaya wang yang dikeluarkan bukan dalam jumlah yang besar sekali gus.

Biasanya golongan ini orangnya teratur. Mereka tidak sukakan suasana kalut. Namun, ada yang suka mencari barangan kelengkapan raya pada saat-saat akhir.

Mereka mempunyai alasan tersendiri antaranya mahukan feel atau vibes raya atau mungkin menunggu diskaun. Ada penjual akan membuat lelongan pada hari-hari terakhir Ramadan untuk menghabiskan stok Aidilfitri.

Ada juga yang menunggu saat-saat akhir kerana mahukan design pakaian raya yang terkini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, banyak jenama-jenama baru muncul di media sosial dengan rekaan ready to wear yang pelbagai dan rata-ratanya berharga RM300 ke atas untuk sepasang baju kurung wanita dewasa.

Ada pakaian yang harganya mencecah RM800 sepasang.

Pada pendapat penulis, penjual tidak salah kerana mereka ada kumpulan sasaran, namun bagi yang kurang berkemampuan, ukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah ikut kemampuan walaupun kita cuma meraikan lebaran sekali dalam setahun.

Bagi mereka yang berkemampuan, tiada masalah sekiranya mahu melaram di bulan Syawal. Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mendedahkan hutang ‘beli dulu, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat mencecah RM2.8 bilion setakat Disember lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, jumlah itu bagaimanapun hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah di negara ini.

Terdapat seramai 5.1 juta pengguna BNPL terdiri daripada golongan berusia 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Jangan sampai sambut raya tahun hadapan, hutang perbelanjaan raya tahun ini belum dilangsaikan.

Bersederhana beraya, yang penting dapat berkumpul mengeratkan silaturahim sesama kita. Ayuh kita berdoa dipanjangkan umur untuk menyambut Syawal 1446H.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN