fbpx
BIARPUN berlaku kenaikan harga, kebanyakan bazar Ramadan di seluruh negara penuh dengan pengunjung. - GAMBAR HIASAN

Harga naik, bazar Ramadan tetap ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali bulan puasa, isu kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan pasti menjadi bualan ramai. Harga jualan tahun ini dibandingkan dengan tahun lalu, malah tahun-tahun sebelumnya.

Dahulu mereka kata bawa RM50 boleh dapat pelbagai juadah berbuka puasa, tetapi sekarang mungkin tiga atau empat juadah sahaja.

Bagi mereka yang berkeluarga besar dengan isi rumah lebih lima orang, mungkin memerlukan hampir RM100 setiap hari. Sekiranya 20 hari jejak kaki ke bazar Ramadan, kira-kira RM2,000 kos berbuka puasa diperlukan.

Misalnya sebelum ini, nasi lemak berlauk hanya RM6 hingga RM7 sebungkus, tetapi sekarang RM9 hingga RM10, manakala martabak harganya kini mencecah RM8 berbanding RM6 sekeping.

Itu belum lagi harga ayam percik, kambing bakar, nasi beriani, nasi arab dan roti john serta minuman viral lain. Yang pasti harga jualan makanan dan minuman di bazar Ramadan akan naik setiap tahun, bezanya cuma kenaikan yang berlaku itu sedikit atau banyak.

Biarpun berlaku kenaikan harga, kebanyakan bazar Ramadan di seluruh negara penuh dengan pengunjung. Waktu puncak orang ramai membanjiri bazar Ramadan di antara pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang.

Bazar Ramadan sememangnya mencuri tumpuan ramai, pelbagai juadah menarik dan unik dijual, malah ada sesetengah hidangan hanya dijual pada bulan puasa.

Tidak hairanlah kebanyakan bazar Ramadan penuh dengan manusia. Rambang mata melihat juadah berbuka puasa membuatkan ramai yang lupa tentang harga, asalkan boleh memuaskan nafsu yang sedang lapar.

Sebahagian orang tidak kisah tentang harga yang mahal, asalkan juadah berbuka puasa yang dijual berkualiti, sedap dan kena dengan tekak. Ada pula yang berkira-kira dan hanya membeli juadah yang perlu mengikut duit poket.

Kenaikan harga makanan dan minuman sememangnya tidak dapat dielakkan. Peniaga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka juga terpaksa membeli bahan mentah pada harga tinggi selain menanggung caj-caj lain termasuk sewa tapak.

Cuma kenaikan yang melampau itu tidak sepatutnya berlaku seperti martabak ayam dijual pada harga RM10 sekeping, sedangkan ia nipis dan isi ayam pun tak rasa.

Dalam tempoh seminggu Ramadan ini, kebanyakan peniaga meletakkan harga berpatutan, seiring kenaikan bahan mentah. Sukar untuk kita beli karipap pada harga 20 sen sahaja ketika ini.

Perbandingan dengan zaman dahulu tidak lagi relevan.

Sekiranya kita mahu mengurangkan kos berbuka puasa, memasak sendiri di rumah adalah jalan terbaik untuk penjimatan, malah lebih banyak menu boleh disediakan.

Jika mengunjungi bazar Ramadan, hanya membeli kuih-muih atau air minuman. Ketika kita kelaparan, memang nafsu itu tinggi, semua nampak mahu dibeli dan akhirnya membazir begitu sahaja.

Kenaikan harga di bazar Ramadan sebenarnya boleh ditangani. Kita sendiri perlu bijak berbelanja. Tidak salah jejak kaki ke bazar Ramadan, tetapi jangan jadikan gerai-gerai jualan di situ sebagai dapur harian kita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN