fbpx
Permintaan Lin untuk dilepaskan kerana kecewa sikap suaminya yang terus-menerus tidak solat dan puasa di bulan Ramadan disambut suaminya dengan rela kerana tidak tahan dibebel isteri yang sentiasa menyuruhnya melaksanakan perintah agama.- Gambar hiasan

Suami tak puasa, solat rela cerai bini kerana tak tahan bebelan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELALUNYA, apabila usia semakin meningkat, seseorang itu akan berubah ke arah kebaikan dan menunaikan segala kewajipan sebagai seorang Muslim.

Begitu juga dengan seorang wanita dikenali sebagai Lin yang berubah ke arah kebaikan apabila usianya bertambah.

“Hampir tiga tahun lalu, saya mendapat hidayah untuk berubah dan lebih dekat dengan agama.

“Saya mula menutup aurat dan menunaikan solat, hidup saya semakin tenang apabila menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan,” katanya yang kini berusia lewat 30-an.

Namun, di sebalik perubahan itu, Lin berhadapan dengan satu ujian, di mana hati suaminya masih tertutup untuk berubah ke arah kebaikan.

Suaminya masih dengan tabiat lama dan langsung tidak mementingkan perintah agama.

Malah, Lin ada memberi nasihat kepada suaminya untuk berubah, namun lelaki itu langsung tidak mahu berubah.

“Sebagai ketua keluarga, suami saya sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik buat anak-anak.

“Namun tidak, dia langsung tidak solat dan menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim yang baik,” terangnya.

Dalam pada itu, Lin memaklumkan, suaminya datang daripada keluarga yang bermasalah.

Ketika mereka bercinta, suaminya mengakui bahawa keluarganya tidak memberikan didikan agama yang secukupnya.

Namun begitu, Lin tetap menerima kekurangan suaminya itu dengan lapang dada.

“Sewaktu kami menjalin hubungan cinta, saya bukanlah seorang yang baik. Kadangkala saya ada meninggalkan solat dan melanggar perintah Allah SWT.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk berkahwin dengan suami.

“Ini kerana, saya merasakan pada satu saat, kami akan sama-sama berubah untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Seiring berjalannya waktu, Lin menjadi semakin matang, dia mula berubah ke arah kebaikan dan menjadi seorang yang mementingkan agama.

Sepanjang tempoh tiga tahun penghijrahannya, Lin sering menghadiri kelas agama dan belajar mengaji supaya bacaannya betul.

Namun begitu, suaminya masih tidak berubah, meskipun telah beberapa kali Lin mengajaknya untuk menjadi individu yang mengutamakan agama.

“Sepanjang kami berkahwin, dia tidak pernah menjadi imam saya. Saya tahu suami boleh solat tetapi dia malas untuk menunaikannya.

“Saya pernah menyuruh anak solat pada setiap waktu, namun anak saya menjawab, ayah pun tidak solat.

“Bukan itu saja, bapa saya sendiri pernah menegur saya kerana jarang melihat suami menunaikan solat apabila pulang ke kampung,” jelas wanita yang memiliki dua cahaya mata itu.

Teguran bapanya itu membuatkan Lin merasa amat malu.

Selain tidak menunaikan solat lima waktu, suaminya juga sering meninggalkan puasa pada bulan Ramadan.

Ujar Lin, perkara tersebut seperti sudah sebati dengan suaminya, di mana lelaki itu sering makan dan minum di siang hari pada bulan puasa tanpa rasa bersalah.

“Saya pernah menegur tentang tabiat suami yang tidak solat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

“Namun akhirnya, saya yang dimarahi oleh suami. Dia memberi amaran kepada saya supaya tidak menyibuk dalam urusannya dengan Tuhan,” jelasnya.

Sementara itu, Lin mendapati bahawa hidup suaminya sering berhadapan dengan masalah kerana enggan menunaikan perintah Allah SWT. Berbeza dengannya yang telah berhijrah dan mengutamakan agama, Lin merasakan hidup dia dipermudahkan dalam banyak urusan.

Lin memaklumkan, hari demi hari, dia semakin tawar hati untuk meneruskan hidup bersama suaminya.

Terdetik di hatinya untuk berpisah dengan suaminya.

“Saya berharap melalui perpisahan, ia akan memberi kesedaran kepada suami saya untuk berubah.

“Hampir setahun saya berfikir, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami.

“Malah, suami saya langsung tidak menghalang. Dia siap menyatakan bahawa hidupnya akan lebih tenang kerana tidak perlu mendengar bebelan saya lagi,” katanya.

Akhirnya, Lin dan suaminya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN