REMBAU – Seorang wanita hiba apabila menerima kiriman baju Melayu yang dibeli untuk suaminya sehari selepas lelaki itu maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau di sini Selasa lalu.
Nor Hafizah Mohd. Sheriff, 40, berkata, baju berwarna ungu berharga RM30 itu dibeli untuk arwah suaminya, Shamsul Rizal Ahmad Mustafa, 45, untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Tahun lepas tema hitam, tahun ini pula ungu. Selama ini suami tidak pernah membantah warna tema raya yang dipilih anak-anak.
“Dia begitu sayangkan anak-anak kerana tidak pernah marah mereka termasuk anak bongsu yang menconteng dinding kerana menganggap ia seni.
“Pada Ahad sebelum kejadian, kami sempat bersahur sebelum dia pergi bekerja di Senawang. Kami jarang berbuka bersama. Dia balik pada hari kejadian pun sebab mahu urus pendaftaran anak ke prasekolah,” katanya ketika ditemui di Desa Rimbunan Kaseh Rembau, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, Shamsul Rizal meninggal dunia selepas motosikal Suzuki Panther dituuggang merempuh dua kenderaan yang membuat pusingan U di depan balai bomba.
Nor Hafizah yang mengandung enam bulan menambah, nahas itu berlaku tidak jauh dari rumahnya.
“Allah mahu dia berehat daripada sakit kanser yang dialaminya,” katanya.
Sebelum ini, keluarga itu pernah mendapat perhatian kerana hilang pendapatan selepas bengkel besi yang diusahakan tidak boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sebelum Shamsul Rizal disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga.
Mereka menerima sumbangan RM1,000 dan barangan keperluan tajaan Media Mulia Sdn. Bhd. selain diberi peluang memiliki rumah sendiri di Rimbunan Kaseh Rembau dengan bayaran RM153 sebulan selama 25 tahun.














