SELAIN lokasi bersejarah, makanan mahupun budaya, gerakan zapin juga boleh tergolong dalam kategori khazanah yang perlu dipelihara dan dijaga kehalusan seni agar tidak lapuk ditelan dek zaman.
Gerakan zapin bahkan dianggap segelintir sekadar ‘ritual’ tertentu bagi acara melibatkan institusi kerajaan, majlis perkahwinan atau keramaian berbentuk tradisional. Kehadiran elemen hiburan moden juga membuatkan gerakan itu kian luput keasliannya.
Perkara itulah yang ditakuti oleh Adiguru Zapin, Seth Hamzah yang agresif mendidik golongan generasi muda agar mencintai budaya tradisi itu sekali gus berlaku diaspora kepada seluruh pelosok negara dan tidak hanya tertumpu kepada negeri Johor.
“Pada tahun 1996, waktu itu Menteri Besar Johor (Tan Sri Abdul Ghani Othman) memberi arahan untuk jadikan zapin sebagai budaya kesenian rakyat Johor. Sasaran pada waktu itu setiap orang Johor perlu memiliki pengetahuan atau kemahiran untuk ‘bermain’ zapin.
“Jadi, waktu itu kita pergi ke kawasan-kawasan pedalaman untuk mempelajari zapin daripada ‘orang-orang lama’ yang berkemahiran. Kita belajar dan kemudian kita kongsikan ilmu itu dengan melakukan bengkel bersama pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta.
“Disebabkan peralihan masa dan pengaruh daripada budaya luar termasuk teknologi moden, membuatkan kehalusan kesenian zapin yang diamalkan sejak dahulu itu mula berdepan dengan perubahan, terutama apabila golongan muda masa kini banyak mencampuradukkan gerakan zapin tanpa mengikut aturan betul,” katanya kepada CitaRasa.

Menurutnya, setiap gerakan zapin dipanggil langkah atau ragam dan bukan dianggap sebagai satu tarian pada zaman dahulu. Berbeza dengan ideologi masa kini yang melihat zapin itu sebagai salah satu bentuk tarian yang diwarisi dari zaman ke zaman.
“Kalau kita melihat semula zapin ini bermula di pekarangan masjid, madrasah atau surau iaitu selepas selesai solat isyak, apabila imam akan bermain gambus, manakala jemaah akan ‘main’ zapin.
“Zapin ini kita tidak panggil menari, tetapi dipanggil ‘main’ sebab pergerakannya berbentuk seperti silat. Kalau kita melihat silat memiliki pencak.
“Lagu zapin itu pula banyak berunsur nasihat dan bukan seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengasas Gemalai Seni (Seri Purnama), Wan Yusniza Wan Yusoff, pengalaman lebih sedekad sebagai penari telah mendorong dia membuka studio tarian demi mendidik anak bangsa tentang budaya.
“Saya membuka studio ini sejak 2017 (bersama Nur Syahida Nawawi) dan menawarkan pembelajaran tarian kepada kanak-kanak dan remaja seawal umur tujuh hingga 14 tahun.
“Tujuan saya adalah untuk mengekalkan tarian tradisional dalam kalangan golongan muda.

“Gerak tarian Melayu ini mempunyai lenggok dan gerak badan tersendiri, dan pada saya tidak ramai dapat mengekalkan tradisi terutama apabila banyak kandungan dalam talian yang mencampuradukkan kreativiti dan tradisi.
“Tidak salah untuk melakukan transformasi pada tradisi, tetapi sebaiknya golongan belia ini perlu diasuh dan dididik dengan ajaran asas terlebih dahulu agar tidak terpesong atau terus dilupakan.
“Jadi, saya sangat bersyukur dapat kerjasama dengan Seth Hamzah yang sememang banyak pengalaman dan asam garam gerakan zapin,” ujar Wan Yusniza.
Menjadi antara pelapis budaya tradisi tersebut, Balqish Arianna Mohd Nasir, 14, mengakui mula tertarik hati dengan tarian tradisional Melayu selepas menontonnya di televisyen.
“Saya mula minat menari sejak berumur enam tahun. Kemudian, pada usia tujuh tahun pula saya mula mendapat pendidikan tarian secara profesional dengan menghadiri kelas.
“Awalnya agak sukar untuk mempelajari tarian tradisional Melayu. Rasa penat itu ada, tetapi saya tidak putus semangat kerana tarian ini sesuatu yang saya minati.
“Saya berharap apabila besar nanti dapat menyambung pengajian di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) dan meneruskan minat dalam tarian,” katanya.
Berkongsi azam sama, Muhammad Asyraf Naufal Muhammad Tarmizi, 9, turut berharap agar dapat mengekalkan tradisi zapin dan membawanya ke pentas antarabangsa.
“Saya juga tertarik dengan zapin kerana seronok melihat pakaian (kostum persembahan) yang cantik dan menarik.
“Disebabkan minat, saya tidak berasa takut untuk membuat persembahan di hadapan umum kerana semua orang gembira dan tidak mentertawakan saya di atas pentas,” katanya.














